Monday, May 16, 2005

Orang Te'ganu (dulu?) rajing ....

Dalam hubungan dengan kedatangan Islam ke Terengganu maka maklumat berkenaan dengan Batu Bersurat Terengganu menjadi bahan perbincangan yang diminati. Batu Bersurat yangt ditemui di Sungai Tersat, Kuala Berang, Terengganu itu tercatit padanya tarikh 702 Hijrah, yang bersamaan dengan 1303 Masihi. Ukiran tulisan Jawi pada batu itu menandakan kesan kedatangan Islam ke Terengganu khasnya dan ke Semenanjung amnya. Padanya terpahat undang-undang berkenaan dengan beberapa jenayah dan hukuman yang setimpal untuknya.

Kerajaan yang terawal dalam perbincangan sejarah yang boleh dikesan di Terengganu bertarikh pada 1225 Masihi. Dikatakan Terengganu pernah ditakluki oleh Palembang, Sumatera, sama seperti Kelantan, Pahang dan Langkasuka. Dalam rekod Cina di abad ke-13 Masihi dinyatakan tentang kewujudan pusat perdagangan penting di Sungai Terengganu pada waktu itu.

Tschau Jou Kua menulis dalam tahun 1225 Masihi menyebut tentang Tong-yan-nong dan Kilantan sebagai dua pelabuhan di pantai Semenanjung Tanah Melayu dan meletakkan kedua-duanya sebagai negeri-negeri yang berada di bawah pengaruh San fo tsi (Sriwijaya, Palembang).

Kemudian Pelliott menulis dalam tahun 1901 (jilid 4, halaman 344) memberi beberapa versi Cina bagi nama-nama itu; termasuk antaranya Ting ko nou daripada sumber berjudul Hai kouo wen kien lou; Ting ko lou dan Ting kia lou daripada sumber yang disebut sebagai Ying honan tche lio: Ting kia lo daripada sumber lain bernama Hai loh yang mungkin merujuk kepada Hai lu sui shih yang dihimpunkan oleh Yeh T’ing Kuei dalam tahun 1149 Masihi.

Tidak lama selepas satu abad daripada Tehan Jou Kua, Wang Tan Yuan menyebut Terengganu dan mencatit dalam tahun 1349 tentang adanya amalan pengurbanan manusia kepada berhala-berhala daripada kayu, mungkin Kali, sebagai dewi maut mengikut ajaran Hindu dalam kawasan itu. (24).

Pada tarikh yang tidak mungkin terlewat daripada 1336 (atau mengikut perkiraan yang satu lagi 1303) Masihi sudah terdapat kerajaan di Terengganu yang beragama Islam dan menjadikan agama itu sebagai agama negerinya. Ini berdasarkan Batu Bersurat Terengganu yang merupakan bukti semasa yang terawal berkenaan dengan pengaruh Islam di Semenanjung.

Dalam tulisannya Sheppard menyatakan bahawa, manakala Orang-Orang Arab dan India singgah dan mendiami kawasan pantai Barat Semenanjung, maka orang-orang Khmer yang belayar dari Cambodia dan Orang-Orang Cina pula mungkin merupakan orang-orang yang selalu melawati pantai Timur Semenanjung buat beberapa abad lamanya sebelum Raja Mandulika memasyhurkan undang-undang Islamnya; dan kebolehan yang luar biasa yang ada pada Orang Kelantan dan Terengganu dalam bidang pertukangan tangan mungkin sebahagian daripadanya datang daripada pengaruh Khmer sebelum dan selepas kerajaan yang membina Angkor Watt itu dikalahkan oleh Orang Thai tahun 1292.

Nampaknya Islam diterima di Terengganu sebelum daripada Melaka sekurang-kurangnya sesuku abad - kalaupun tidak lebih awal lagi daripada itu. Mungkin Terengganu yang berada di jalan perniagaan laut itu terdedah kepada Orang Arab yang datang berniaga dan juga menjalankan kegiatan dakwah di sana; mereka itulah yang membawa Islam ke negeri Cina dalam abad ke-7 Masihi, yang datang mendahului Marco Polo ke pantai timur Sumatera pada tahun 1292 Masihi.

Tanpa berpanjang kalam berkenaan dengan sejarah awal Terengganu dengan hubungannya dengan Melaka dan Pahang, dan seterusnya, maka boleh disebutkan bahawa Sultan Terengganu yang pertama dalam sejarahnya ialah Tun Zainal Abidin, tetapi mengikut ahli sejarah Terengganu beliau itu diletakkan atas singgahsana pemerintahan Terengganu melalui pengaruh sahabat baik Permaisuri Petani yang dilaporkan bernama Nang Cayam, tetapi mengikut ahli sejarah Bugis pula Raja Tua Bugis dari Riau yang meletakkan baginda atas singgahsana itu. Mengikut Tuhfatul-Nafis ini berlaku tahun 1723 Masihi.

Tanpa berpanjang kalam juga tentang peristiwa-peristiwa siasah berhubungan dengan pemerintahan Siamnya, keberadaannya di bawah pengaruh British, sampailah ke zaman kemerdekaan, demikian seterusnya, yang kita hendak berikan perhatian di sini ialah ciri-ciri Terengganu sebagai negeri Timur Laut bersekali dengan Kelantan termasuk Petani (walaupun tidak saya bicarakan di sini), serta juga Campa dan Kemboja yang berada di bahagian pantai itu membina hidup ketamadunan yang bertunjangkan Islam dan memanifestasikan pegangan dan kehidupan Islam dan juga yang mempunyai sifat-sifat kemasyarakatan dan akliah yang memberi potensi kepada perkembangan yang lebih banyak dan baik pada masa depannya dengan izin Ilahi.

Tentang sifat-sifat orang Terengganu dengan kepandaian dan kemahirannya dalam pertukangan ini dipuji oleh Clifford dalam catitan-catitannya, sebagaimana kata Sheppard (25)

Clifford describes the people of Terengganu as the most ingenious and among the most industrious of Malays in the Peninsula ...

Ertinya: "Clifford memberi gambaran tentang Orang Terengganu sebagai orang-orang yang paling pandai dan mahir dan juga paling rajin di kalangan orang-orang Melayu Semenanjung ..."

Digambarkan bagaimana dahulunya mereka itu pandai membuat barangan-barangan seperti sutera, bahan-bahan dari kapas, senjata-senjata, bahan-bahan daripada besi dan alat-alat daripada kayu; juga bahan-bahan dibuat daripada tembaga putih dan lain-lainnya yang menunjukkan tahap kemahiran yang tinggi. Bertenun dilakukan oleh para wanita.

Perkembangan agama Islam berjalan dengan baik antaranya dengan adanya raja-raja Terengganu yang mengambil berat tentang itu, seperti yang berlaku pada masa pemerintahan Sultan Zain al-‘Abidin dalam awal abad ke-XX. Dialah yang mengadakan Undang-Undang Tuboh Negri yang merupakan perlembagaan negeri.

Semangat merdeka orang Terengganu boleh dilihat pada aktiviti Haji ‘Abdul Rahman Limbong dalam menghadapi British, demikian juga kegiatan To’ Ku Paloh. Ulama Terengganu yang paling termasyhur namanya ialah tanpa syak dan ragu lagi To’ Pulau Manis atau Syaikh ‘Abdul Malik bin ‘Abdullah yang terkenal dengan kitab Hikam-nya yang diteliti oleh Dr Shafie Abu Bakar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dicuri sewaktu mencari di Google.com

NOTA dari Fathi Aris Omar: Orang Te'ganu misti brahi bace tulisang 'ni. Pantang kena puji! Tapi le 'ning, guane? Orang Terengganu masih rajin-rajin dan pintar-pintar, atau tidak? Rajing sokmo, dok?

2 Comments:

Anonymous Anonymous said...

haha...tibe2 terbuke page ni...haha..rajing je org tenganu..haha..suke gok ahh..hehe

7:11 AM  
Blogger yanmaneee said...

goyard bags
goyard handbags
golden goose
golden goose outlet
adidas yeezy
yeezy supply
supreme
golden goose sneakers
goyard bags
yeezy

9:03 PM  

Post a Comment

<< Home