Tuesday, May 17, 2005

Duku Terengganu asal Jawa?

Entah mungkin kerana terlalu rindu pada bumi sendiri, Kuala Terengganu dan desa saya Pasir Panjang, saya 'perasan' beberapa kata di Jakarta ini (mungkin pengaruh Jawa?) mempunyai persamaan dengan kata-kata dalam loghat Terengganu.

Misalnya kata-kata ini, 'got' dan 'kocok'. Kata-kata ini tidak ada di sebelah pantai barat dan selatan Semenanjung, tetapi tiba-tiba muncul di Terengganu. Kenapa boleh ada semacam 'persamaan' ini sedang kedudukan geografinya agak jauh?

Selalunya pengaruh Sumatera, Riau, Bugis (Makasar) dan Jawa akan bertompok di kawasan-kawasan penempatan di negeri-negeri barat dan selatan Semenanjung.

Menurut Dr Shafie Abu Bakar, dulu pensyarah UKM dan pernah menjadi wakil rakyat PAS di Kajang, hubungan Terengganu dengan Jawa (Timur) memang telah lama wujud -- khususnya dalam bidang pengajian Islam.

Tambahnya, duku Terengganu yang banyak ditanam di pingir-pinggir Sungai Terengganu, kawasan Paloh hingga Belada, memang kawasan perkampungan asal orang Terengganu, pusat peradaban awal (juga, pengajian Islam) memang bergerak antara bandar Kuala Terengganu (juga disebut Tanjung) hinga ke kawasan-kawasan pedalaman ini melalui sungai-sungai besar ini.

Pada abad ke-19, misalnya akhir abad ini, Sultan Terengganu memperkenalkan hudud. Abad ke-19 ini 'abad Pencerahan' (ilmu Islam) di negeri saya itu.

Kenapa duku Terengganu, yang dianggap species (atau klon?) duku yang baik di negara kita, hanya ada di Terengganu, tidak terdapat di tempat-tempat lain? Mungkin juga benihnya dibawa dari Jawa bahagian Timur (dan, khabarnya, akibat berkat tuan-tuan guru itu) ia menjadi sejenis buah-buahan yang sedap.

Satu hal menarik, kewujudan muzik gamelan. Tidak syak lagi ia diambil dari Jawa, bukannya dicampakkan oleh 'burung garuda' seperti diceritakan dalam satu riwayat. Nota: saya tidak pernah membaca riwayat ini tetapi saya mendapat maklumat ini dari seorang teman saya (bekerja di Mardi Serdang) yang dulu menuntut seni halus (tahun 1970-an) di Institut Teknologi Mara (sekarang dikenali, UiTM).

Kerajaan Terengganu, seperti diceritakan dalam sejarah, memang dibangunkan oleh kerajaan Pattani dan sebelumnya, seperti Kelantan dan sebahagian wilayah Kedah dan utara Perak, berada di bawah kerajaan hebat di selatan Thai ini.

Harus diingat, tulang belakang bahasa Indonesia itu sendiri diambil daripada bahasa Melayu, kemudian mengalami evolusi (menyerap kepelbagaian) daripada beberapa pengaruh pemikiran dan budaya, misalnya Arab (Islam), Eropah (Belanda dan Inggeris) dan juga tidak lupa, Jawa -- tamadun yang kaya dan lebih kukuh di sini.