Wednesday, May 18, 2005

Datuk Bahaman lari ke Kg Paloh (2)

[Bahagian II, lihat bahagian I di atas dan bahagian III di bawah]

Abu Samah dilahirkan pada 1926. Dalam lingkungan usia 10 atau 11 tahun, beliau sudah merapati akinya Daeng Busu dan datuknya, termasuk Tok Mat Lela yang pulang dari buangan di Chiangmai.

Setahun selepas itu, semangat anti-Inggerisnya mula berputik. Pada usia 14 tahun pula, beliau dijadikan utusan untuk menyampaikan surat-surat rahsia antara sepupunya, orang kuat KMM, Tengku Mohammad dengan Abdul Rahman Talib, bekas menteri pelajaran, dan Mohamad Yassin (bapa seorang anggota kabinet, Kamarul Ariffin).

Sepupu inilah yang menyarankan beliau menyertai Pasukan Sukarela sebagai penghubung dengan aktivis-aktivis KMM dalam pasukan itu. Bagaimanapun usaha ini gagal apabila Jepun, yang kononnya berusaha mendapatkan kemerdekaan negara melalui KMM, mengharamkan kesatuan itu.

Abu Samah kemudiannya menyertai gerakan menentang Jepun. Ia bermula dengan kematian penghulu Semantan, cucu Datuk Bahaman, akibat diseksa tentera dari negara matahari terbit itu. Kematian ini membangkitkan perasaan antipenjajah yang besar di daerah tengah Pahang. Penghulu Maidin didapati menyeludup beras kepada gerakan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (MPAJA).

Walaupun mendapat kedudukan istimewa kemudiannya dalam pasukan Hai Ho di Singapura, perasaan anti-Jepunnya sangat tebal, lalu Abu Samah meninggalkan pasukan itu pada Januari 1945, selepas kematian abangnya Mohamad Yassin sebulan sebelumnya di tangan tali barut penjajah itu.

Beliau mula menyusun gerakan menentang Jepun, termasuk mobilisasi massa, seperti rapat umum yang melibatkan ribuan penduduk di sebuah ladang dan juga perarakan massa pada waktu malam di bandar Karak.

Selepas Inggeris menawan kembali Malaya, Abu Samah menyertai PKMM, mula-mula di Setapak, Kuala Lumpur pada 1946 kemudian di kampung halamannya, Semantan. Selepas itu, beliau dipilih menjadi setiausaha Pemuda Umno cawangan kampung berkenaan.

Beliau bergerak cergas melalui Umno sehingga terputus hubungan dengan gerakan-gerakan kiri. Tetapi pada Mac 1948, beliau secara rasmi menyertai PKM.

Selepas perang dunia ini, semangat menuntut kemerdekaan semakin berkobar-kobar, khususnya kumpulan-kumpulan kiri. Mereka meneriakkan 'Merdeka', sementara Umno masih dengan slogan lama, 'Hidup Melayu.'

Bagaimanapun ramai juga mereka yang berhaluan kiri, kira-kira 75 peratus daripada 600 orang, menyertai Umno di kawasan Abu Samah. Ini menyebabkan Inggeris mula melancarkan gerakan melumpuhkan perjuangan rakyat.

Penyertaannya dalam perarakan Hari Pekerja di Mentakab pada tahun itu kurang disenangi beberapa pihak, termasuk pemimpin Umno tempatan, selain dua perisik kerajaan dan ketua polis daerah berbangsa kulit putih. Abu Samah memilih jalan untuk tidak terlalu menampakkan diri.

Pada penghujung bulan Mei 1948, seorang anggota jawatankuasa pusat PKM mengadakan kem latihan di Lubuk Kawah, Temerloh dan merancang strategi lebih tersusun gerakan bersenjata bagi orang Melayu. Tokoh-tokoh utama Jabatan Kerja Melayu parti itu seperti Abdullah CD, Rashid Maidin, Kamarulzaman Teh, Wahi Anuar dan Musa Ahmad turut hadir.

Kader-kader dari seluruh Malaya turut serta, 36 orang semuanya dengan 10 laras senapang. Apabila penjajah mengisytiharkan Darurat tahun itu, kumpulan yang dilatih ini akhirnya dikenali Rejimen ke-10 PKM yang diketuai Alang Kassim, mula bergerak di seberang Temerloh, Pahang.

Dalam sekolah latihan ini, tiga kandungan asas yang diajar termasuklah masalah politik semasa waktu itu, cara-cara menggerakkan rakyat dan latihan ketenteraan.

"Sekolah latihan ini cukup berhasil bagi menghadapi perubahan situasi (politik) selanjutnya," akur Abu Samah dalam memoir politik tulisannya sendiri, Sejarah dan Perjuangan Kemerdekaan.

Bagaimanapun, Darurat juga merencatkan gerakan rejimen ini, khasnya selepas Kamarulzaman tertangkap pada 20 Jun 1948 dan dikenakan hukuman mati. Beliau bagaimanapun terselamat daripada hukuman ini apabila diampun oleh Sultan Pahang.

"Perisytiharan Darurat sudah memasuki bulan kedua, tapi pihak kami masih tidak tahu apa nak buat," tulis Abu Samah. "Askar, polis dan ejen perisik mulai muncul di pekan dan kampung."

Pada Jun 1949, Platun 5 rejimen ini dirancang. Musa mencadangkan kepada Abu Samah agar menyertai platun ini sebagai perajurit seksyen politik.

"Kehidupan ketenteraan dalam Platun 5 pada mulanya tidak menyeronokkan disebabkan pilih kasih Musa dalam melantik anggota markas platun yang tidak mempunyai semangat tanggungjawab yang baik, tidak kuat semangat disiplin dan tidak mempunyai moral dan budaya yang boleh dijadikan contoh teladan oleh perajurit," tulis beliau secara jujur dalam karya penting ini.

"Tetapi memikirkan demi usaha revolusi dan kemerdekaan tanahair, saya sempurnakan pasukan ini (dengan bantuan kawan-kawan). Kami mulai aktif, hari-hari membawa kawan-kawan berlatih ketenteraan, menyusun kawalan, mengajar kebudayaan, memandu kawan-kawan meronda ke kampung dan ikut serta membantu massa rakyat menumbuk padi dan pelbagai kegiatan lagi."

0 Comments:

Post a Comment

<< Home