Wednesday, May 18, 2005

Datuk Bahaman lari ke Kg Paloh (3)

[Bahagian III dan akhir, lihat bahagian I dan bahagian II di atas]

Tidak lama selepas platun ini dibentuk, pada bulan September tahun yang sama, ia bergabung dengan platun-platun 1, 2 dan 4 bagi membentuk Kompeni A Rejimen ke-10 di sebuah hutan kecil di Kampung Songsang. Sasarannya untuk mengadakan perarakan jauh (long march) ke utara Pahang.

Kira-kira April 1952, Abdullah CD selaku komisar politik Rejimen ke-10 sampai di kawasan operasi Abu Samah di Semantan, sementara Rashid Maidin yang berjaya melepaskan diri dari tahanan Tajung Beruas, Melaka juga berada di situ. Setelah bertemu setiausaha agung PKM, Chen Ping, Abdullah menjadikan Semantan sebagai ibu pejabat markas besar rejimen ini.

Dalam perayaan menyambut ulang tahun ketiga tertubuhnya Rejimen ke-10, Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) pada 21 Mei 1952, Abu Samah dianugerahkan gelaran kehormat 'Pahlawan'. Turut dianugerahkan ialah 13 lagi perajurit, termasuk pingat 'Serikandi' kepada wanita.

Platun 5 juga mendapat penghargaan sebagai 'Platun Teladan' dan menerima wang serta surat-surat kepujian. Anugerah ini diberikan atas jasa-jasa besar mereka di medan perang, memobilisasi rakyat dan hasil-hasil yang berkesan memajukan gerakan anti-Inggeris.

Ia termasuk menjadikan kawasan sekitar bandar Temerloh pangkalan-pangkalan gerila, menundukkan pasukan African Rafles dari Kenya (yang diimport Inggeris), bekerjasama dengan Rejimen Askar Melayu yang patriotik, memecahkan sekatan akibat pembentukan kampung-kampung baru di bawah rancangan Briggs dan memulihkan Umno bahagian Temerloh.

Pemulihan Umno itu dianggap penting apabila semua organisasi lain telah diharamkan Inggeris. Tinggal parti Melayu ini sahaja peluang untuk rakyat melancarkan kesedaran politik. Mereka berjaya memberikan kesedaran dan hasilnya, ahli-ahli Umno mula mengubah slogan 'Hidup Melayu' kepada 'Merdeka' — slogan asal kemerdekaan yang diperjuangkan oleh nasionalis Melayu.

Bagi melancarkan lagi gerakan antipenjajah Inggeris, jawatankuasa pusat PKM memutuskan supaya Rejimen ke-10 bergerak di sempadan Thailand-Malaysia sebagai pangkalan baru. Perarakan panjang ini tidaklah mudah, malah penuh dugaan dan kesengsaraan.

(Waktu itu, tindakan berpangkalan di sempadan ini dianggap strategik, Bagaimanapun, akhirnya ia didapati satu kelemahan PKM dan Rejimen ke-10, khususnya. Chen Ping, dalam satu wawancara awal tahun ini, mengaku rejimen ini seharusnya terus berpangkalan di Sementan atau kawasan tengah Pahang untuk terus membangkitkan kesedaran massa petani.)

Perpindahan ke utara, dan kemudiannya ke Selatan Thailand sehingga ke bandar Patani, tidaklah mudah. Mereka bekerja keras meyakinkan pendudukan setempat, khususnya berdepan dengan propaganda Inggeris memburuk-burukkan PKM.

Mereka terpaksa menjawab propaganda itu dengan teladan yang baik yang bertentangan dengan propaganda negatif itu. Mereka akhirnya mendapat kepercayaan sehingga berjaya menubuhkan banyak pangkalan kecil di serata tempat di Selatan Thailand.

(Ketika lawatan penulis di muzim Kampung Perdamaian 12, kem asal markas besar Rejimen ke-10, di daerah Sukhirin, Thailand, terdapat sebuah peta besar tetapi ringkas yang menunjukkan taburan pangkalan-pangkalan kecil rejimen ini).

Dari kem inilah tercetus idea perjanjian damai yang kemudiannya dimaterai pada 2 Disember 1989. Pada Februari 1985, Mokhtar Mahmud Baginda, yang berhubung dengan timbalan perdana menteri waktu itu Ghafar Baba, bertemu dengan Abu Samah di kem penyusun massa Kampung Sowo, tidak jauh dari Sukhirin.

Bagaimanapun, dewan jawatankuasa pusat utara Malaya PKM mempunyai hujah lain berhubung usaha berdamai, walau markas besar Rejimen ke-10 dan dewan rendah Utara Malaya telah bersetuju. Selepas ini tiada keputusan diambil.

Pada 25 Jun 1987, Abdullah CD atas nama Rejimen ke-10 menulis surat kepada Ghafar, atas sifatnya timbalan perdana menteri, menyatakan persetujuan untuk berdamai. Surat persetujuan balas dari kerajaan Malaysia bertarikh 7 September tahun itu diterima.

Ia disusuli surat Abdullah pada 1 Oktober untuk menetapkan tarikh dan tempat berunding. Akhirnya satu tempat yang dipersetujui, termasuk oleh kerajaan Thailand, bersama dipilih. Ia diadakan di sebuah pangkalan desa Rejimen ke-10.

(Dalam perjanjian ini, PKM akhirnya diiktiraf oleh kedua-dua kerajaan itu sebagai sebahagian daya sejarah yang penting untuk mempercepatkan kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957.)

"Mengenangi dan mempelajari kisah-kisah gemilang perjuangan mulia melawan imperalisme British yang hendak menakluki negeri Pahang yang dipimpin oleh nenek saya Datok Bahaman bin Tok Noh inilah yang telah mengilhamkan saya mewarisi tradisinya dengan menyambung cita-cita dan wawasannya bangkit berjuang melawan pendudukan imperalisme British yang tercokol di negara ini demi untuk kemerdekaan dan pembebasan bangsa, agama dan tanahair tercinta!" tulis Abu Samah mengakhiri buku bersejarah lagi penting ini, tetapi sukar diperolehi di negaranya sendiri!

Tulisan ini, diterbitkan oleh akhbar web ini pada 31 Ogos 2002, diolah daripada memoir politik karya Abu Samah sendiri, Sejarah dan Perjuangan Kemerdekaan (1996). Beliau kini menetap di kem asal Rejimen ke-10 PKM di sempadan Malaysia-Thailand, tidak jauh dari daerah Sukhirin. Saya melawat kem ini Mei 2002 di Perkampungan Damai (Ban Chulabhorn Pattana 12), yang kini dijadikan destinasi pelancongan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home