Monday, May 23, 2005

Pada mulanya lidah* [Siri 3]

Lihat juga artikel-artikel Siri I dan Siri II di bawah: Fathi Aris Omar

Rahsia utama, antaranya, yang mencipta sebutan-sebutan ‘ganjil’ loghat Terengganu – berbanding sebutan dan struktur ayat bahasa Melayu (rasmi) – semuanya gara-gara lidah.

Ya, memang, semua bahasa pertuturan bermula di lidah, lelangit dan gigi. Tetapi lidah orang Terengganu lebih ‘istimewa’ (walau saya tidak pernah menyentuhnya! …hehehe…).

Loghat di negeri Pantai Timur ini bermula pada kedudukan lidah mereka yang rata, atau lese, sahaja – entah kerana ‘malas’ atau kerana ‘keras’ kaku – di dalam mulut. Lidah orang Terengganu tidak bergerak dengan rancak untuk membolehkan mereka menyebut sesuatu kata bahasa Melayu (rasmi) dengan ‘betul’.

Apakah sebutan bahasa Melayu rasmi itu lebih ‘betul’ dan sebutan Terengganu itu ‘salah’? Saya tidak bersetuju dengan cara menggambarkan kata ‘betul’ atau ‘salah’ dalam konteks ini. Seharusnya ia dilihat sebagai dua sistem sebutan yang ‘berbeza’. Kata ‘berbeza’ atau ‘berlainan’ lebih berkecuali dan dekat dengan isu yang kita bincangkan ini.

Kedudukan lidah yang ‘rata’ di dalam mulut, hujungnya tidak ke atas (misalnya, sewaktu menyebut kata-kata ‘makan’). Dalam pertuturan rasmi, kata ‘makan’ atau yang berakhir dengan ‘—n’ memerlukan pergerakan hujung lidah ke lelangit (berhampiran gigi).

Tetapi apabila, kedudukan lidah orang Terengganu rata sahaja – maka muncul kata ‘makang’. Gerak dan kedudukan lidah sebeginilah yang memunculkan bunyi-bunyi ‘ikang’, ‘bidang’ atau ‘telang’, bukannya ‘ikan’, ‘bidan’ atau ‘telan’ (bahasa Melayu rasmi).

Begitu juga kata-kata yang berakhir dengan ‘—m’, akan disebut menjadi ‘—ng’; misalnya malam = malang, makam = makang, atau, Siam (Thailad) = Siang.

Perhatikan juga kata-kata Melayu yang berakhir dengan ‘—au’ atau ‘—ai’. Orang Terengganu menghilangkan bunyi huruf ‘u’ dan ‘i’ di hujungnya menjadi ‘pisa’ (bagi ‘pisau’), ‘hija’ (bagi ‘hijau’), atau ‘sila’ (untuk kata ‘silau’). Kata-kata ‘pakai’ menjadi ‘paka’ dan ‘hilai’ (ketawa) = ‘hila’ (orang Terengganu lebih suka menyebut ‘ngilla’).

Bunyi loghat ini bersesuaian dengan ‘hukum sebutan’ yang tidak banyak menggerakkan lidah tetapi membiarkannya rata sahaja di tengah-tengah mulut.

Kata-kata Melayu yang berakhir dengan ‘—ar’ akan dibunyikan oleh orang Terengganu dengan sistem ‘—or’. Misalnya, ‘pasar’ menjadi ‘pasor’ dan bandar = bandor (dengan penekanan suara yang agak dalam). Tetapi kata ‘biar’ masih kekal ‘biar’, tidak pula menjadi ‘bior’!

Kata-kata ‘sebab’ akan menjadi (disebut) ‘sebak’, jilbab = jilbak, kebab = kebak, dan nasib = nasik. Format kata ‘—ab’ dalam bahasa Melayu rasmi ini memerlukan pergerakkan bibir (atas dan bawah) yang tertutup (rapat) tetapi orang Terengganu membukakan sedikit mulut, sementara lidahnya masih juga ‘rata’!

Semua kata Melayu (rasmi) yang berakhir dengan ‘—s’ akan berbunyi di mulut orang Terengganu berakhir dengan ‘—h’. Misalnya, ‘kertas’ akan menjadi ‘kertah’, ‘harus’ = ‘haruh’, ‘tebas’ = ‘tebah’, ‘malas’ = ‘malah’, dan ‘bilas’ = ‘bilah’. Sekali lagi, angkara lidahnya itu!

Format sebutan rasmi kata-kata yang berakhir dengan ‘—s’ seharusnya hujung lidah menekan bahagian gigi (dalam). Tetapi bagi penutur loghat Terengganu, mulut mereka dibiarkan terbuka dan lidah mereka pula berkedudukan rata.

* Judul artikel saya ini diubah suai dari ungkapan yang agak popular di kalangan teman-teman Indonesia, ‘pada mulanya kata’. Khabarnya ia dipopularkan oleh Goenawan Mohamad, penyair dan penulis kolum ‘Catatan Pinggir’ di majalah mingguan tersohor Tempo. Tetapi seorang teman saya di Jakarta (yang mendalami teologi dan kajian teks Kristian) mendedahkan, Goenawan kemungkinan besar mengambil ungkapan itu dari Bible.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home