Wednesday, June 29, 2005

Pelawok dan naw'wok

Secara rasmi kita menyebut 'lawa' bagi menggambarkan sesuatu yang cantik dan indah, termasuk orang. Tetapi di lidah orang Terengganu perkataan ini berbunyi lawo.

Orang lain menyebut 'Jawa' (atau Jawe), orang Terengganu menyebutnya Jawe (Jawo, kata orang Kelantan pula).

Di Terengganu, ada kacang Jawe untuk merujuk pada kacang tanah dan asang (asam) Jawe untuk menunjukkan buah yang masam (ada juga yang masak manis), 'tamarin'.

Jika kita memakai rumus perubahan sebutan dari bahasa Melayu rasmi kepada loghat Terengganu seperti di atas, apakah pelawok dalam sebutan orang negeri ini bermakna 'pelawak'?

Tidak!

Orang Terengganu tidak bermaksud begitu. Malah pelawok itu merujuk kata keterangan (adverb) 'tipu' atau 'bohong'.

Yakni, pelawok digunakan untuk menghuraikan, menjelaskan atau menggambarkan perihal berkata-kata dengan tidak benar. Pelawok di sini bukan kata nama (noun) seperti 'pelawak' (seseorang yang berjenaka)

Sementara perbuatan menipu atau berbohong pula disebut naw'wok. Ada penekanan di tengah kata ini, bukan nawok (tanpa penekanan). Naw'wok ini merujuk perbuatan atau kata kerja (verb).

NOTA: Siang tadi, saya terserempak dengan sekeping halaman web di ruang sembang Melayu.com, senarai kata-kata dan ungkapan loghat Terengganu yang disusun oleh NoorMasri (sehingga 24 Februari 2005).

Senarai ini sangat membantu saya mengingatkan kata-kata dan ungkapan khas negeri ini. Sila rujuk halaman ini dan jika ada sebarang persoalan, boleh juga e-mel kepada saya untuk penjelasan lanjut. Terima kasih NoorMasri dari Kuala Ibai, tidak jauh dari kampung saya.