Thursday, June 09, 2005

Pok Katok dikatok kat'tok

Orang Terengganu, jika melihat tajuk ini, jangan ketawa dulu. Elok teruskan pembacaan anda. Hehehe ...

Tiga kata ini -- katok, selok dan kerek -- khususnya dua yang pertama, menarik untuk kita teliti dan fahami lebih dekat.

Selok, di sisi orang Terengganu, ada dua maksud (dua perkataan) berbeza walau sebutannya sama. Pertama, selok daripada kata selak (bahasa Melayu rasmi) yang bermaksud "kunci atau mengunci". Kedua, selok dalam loghat Terengganu merupakan kata (sebutan) khusus negeri ini yang merujuk kepada "tangisan (atau kesakitan) yang bersangatan".

Kata selok di sini, huruf 'e' dibunyikan dengan 'e' pada kata emak (menurut sistem ejaan lama, huruf 'e' dengan tanda di atasnya), bukan 'e' pada kata enak. Jadi, selok di sini sejenis kata nama (noun)... atau ... kata keterangan (adverb)?

Jika kata selok dibunyikan dengan huruf 'e' (seperti 'e' pada kata enak), ia bermakna sebutan loghat negeri ini daripada kata selak (bahasa Melayu rasmi) yang bermaksud "membuka sedikit atau perlahan-lahan" (misalnya menyelak kain, daun pintu atau buku). Selok di sini sejenis kata kerja (perbuatan).

Anda harus baca sekali lagi dengan teliti beberapa perenggan di atas jika masih gagal memahami penjelasan ringkas dan mudah di atas.

Kata kedua, katok -- juga mempunyai dua maksud, bergantung pada penekanan pada perkataan ini. Pertama, katok itu perkataan khusus Terengganu yang sama ertinya dengan pukul (kata kerja atau perbuatan) dalam bahasa Melayu rasmi.

Tetapi, kedua, jika disebut dengan penekanan kat'tok, ia merujuk seekor binatang kecil yang suka melompat-lompat, katak.

Di Kuala Terengganu, dalam perjalanan dari Bukit Besar ke pekan Batu Enam (jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu), terdapat sebuah kampung yang dikenali nama Kampung Pak Katak (mengikut ejaan rasmi bahasa Melayu). Kampung ini asalnya paya atau sawah dan berdekatan pula dengan sungai.

Bagi pengunjung dari luar Terengganu, mereka mungkin ketawa melihat nama ini. Mungkin mereka tertanya-tanya: apakah ada kampung-kampung 'Mak Katak' dan 'Anak Katak'?

Tetapi sebagai orang Terengganu saya berfikir kembali kata 'katak' di hujung nama desa ini -- apakah asalnya kata katok (pukul) atau kat'tok (katak)? Siapa tahu jawapannya?

Analisa saya: orang negeri ini menyebut kampung tersebut: Pok Katok (bukan Pok Kat'tok?). Jadi, saya meramalkan nama kampung ini diabadikan sebagai lambang seorang bapa (atau, orang tua) yang memukul anaknya. Penderaan?

Kata ketiga, kerek mempunyai dua sebutan dan dua maksud. Jika kerek dibunyikan dengan 'e' (seperti kata emak), ia bermakna kerap dalam bahasa Melayu rasmi. Selalunya, ada kata tambah di belakangnya, kerek teh ...! Kerek di sini sejenis kata keterangan (adverb).

Tetapi jika kerek dibunyikan dengan 'e' (seperti kata enak), ia membawa maksud "sesuatu yang bulat bergelung"; misalnya bulatan perigi (dibuat daripada simen) dan juga bulatan daun yang digunakan untuk menyemai anak benih (tembakau, contohnya).

Kata kerek juga dijadikan penjodoh bilangan untuk bulatan gelung manisan (dibuat daripada kelapa). Jadi, jika anda ingin membeli manisan (kata kami, nis'sang) di Terengganu, anda boleh bertanya: berapa [sen] se-kerek?

Tetapi ingat, bunyi e pada kata kerek ini sama sebutannya dengan 'e' pada kata enak.

Tuesday, June 07, 2005

Terengganu 2,000 tahun lalu...

Ada dua sumber yang dirujuk untuk catatan ini. Pertama, satu kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar anjuran Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Terengganu (pada 13 dan 14 Oktober 2001).

Kedua, diambil dari tulisan (daripada buku) seorang ahli sejarah Terengganu yang terkenal, Misbaha (almarhum). Petikan ringkasnya seperti versi di bawah:

Peta Semenanjung Tanah Melayu yang dibuat oleh Ptolemy (seorang ahli kaji bintang dan ilmu alam Greek yang terkenal, hidup dalam kurun kedua Sebelum Masehi, lahir di negeri Mesir. P) yang dipercayai diperbuat di Iskandariah ada menunjukkan dua buah pelabuhan di Pantai Timur yang dinamakan 'Perimula' dan 'Kole'.

Maka pelabuhan Perimula itu dipercayai ialah 'Kuala Sungai Terengganu' dan pelabuhan 'Kole' ialah 'Kemaman'. Ada juga ahli sejarah yang berpendapat, pada zaman dahulu, negeri Terengganu ini dikenali dengan nama 'Tanah Merah'.

Menurut cacatan sejarah, ada pelawat-pelawat China pada masa dahulu memberi nama Terengganu dengan 'Ting Chia Hsia Lu' (Teng Ka Ha Lo dalam bahasa Hokkein) dan 'Ting Ka Ha Lou' dalam bahasa Kantonis.

Dalam peta Wu Pei Chih, yang diperbuat di antara tahun 1511M, dan 1601M, berdasarkan kepada kenyataan yang diambil daripada pelayaran Cheng Ho ke Tanah Melayu di kurun Masehi yang ke-15 ada menunjukkan Pulau Tinggol (di hadapan daerah Dungun) dan beberapa buah pulau di negeri Terengganu dan Kelantan.

Di dalam peta yang diperbuat oleh Linschoten tahun 1623M, negeri Terengganu disebut 'Perengenaok'. Peta ini ada menunjukkan nama capas (Pulau Kapas), Pulau Redang dan beberapa pulau yang bernama Fancian yang letaknya di tempat Pulau Perhentian sekarang. Meskipun Linschoten ada menunjukkan Calntao (Kelantan) dan Patani (Pattani), Padram (Batu Pahat) Muar, tetapi tidak ada dimasukkannya Pahang atau Johor.

Di dalam syair Jawa yang bernama Negarakertagama yang dikarang dalam tahun 1365 oleh Prapancha, seorang sami Buddha di Majapahit, ada menyebutkan nama beberapa buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu yang ditakluk oleh Majapahit, di antaranya ialah Terengganu, Dungun dan Paka (kedua-dua yang akhir ini ialah daerah dalam Terengganu).

Pengarang sejarah China yang bernama Chao Ju Kua yang menulis dalam tahun 1225M ada menyebut nama Terengganu dengan Tong Ya Nong dan Kai Lan Tan (Kelantan) sebagai dua buah pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung di bawah pemerintahan Sriwijaya Palembang.

Pelliott seorang ahli sejarah yang menulis dalam tahun 1904M ada menyebut beberapa nama dalam bahasa China yang diambil daripada buku China itu nama Tin Ko Nou, Ting Kia Lou dan Ting Ko Lo, nama-nama bagi Terengganu.

Kemungkinan nama Terengganu itu diambil asalnya dari perkataan Terenggani dari bahasa Tamil bererti 'tanah berbukit', dan nama itu diberi oleh pelawat India yang mungkin sampai di Terengganu pada zaman dahulu kala, kerana dilihatnya negeri ini dari laut [mempunyai] banyak berbukit.

Batu bersurat yang dijumpai di Kampung Buloh, Kuala Berang kira-kira tahun 1887M menyatakan tulisan perkataan Terengganu itu ialah Terenkanu dan di atas duit timah (pitis) yang bertarikh 1310H (1891M) ejaannya Terkanu.

Sumber asal: Sejarah Darul Iman, buku karangan sejarawan Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha). Disunting sedikit sebanyak oleh Fathi Aris Omar

Sunday, June 05, 2005

Cokeh, congek, bo'keh & ongek

Mendengar intonasi dan ekspresi orang Terengganu, kita tidak dapat tidak akan terkesan 'ke-kasar-an' loghatnya. Mungkin kita, termasuk penduduka asal negeri ini, tertanya-tanya kenapa hal sedemikian terjadi?

Apakah kerana mereka asalnya tinggal di pantai-pantai dan kuala-kuala sungai, dan menjadi nelayan, mereka harus melaung-laungkan suara -- dengan itu, mereka harus menguatkan suara (mungkin kerana dibawa angin? hehehe), dan kemudiannya loghatnya menjadi 'kasar'? Atau ada sebab-sebab lain?

Jika kita mengambil spekulasi tentang penempatan di pinggir laut dan pekerjaaan nelayan sebagai satu penyebabnya, kita harus bertanya lagi, apakah semua kelompok manusia yang tinggal di pinggir laut dan menjadi nelayan mempunyai pertuturan 'sekasar' seumpama orang Terengganu?

Kenapa tidak orang Kelantan? Bagaimana orang Acheh dan Sumatera? Bagaimana pula orang Bugis (Sulawesi selatan) dan kepulauan Filipina yang juga hidup di pinggir-pinggir pantai dan bekerja menangkap ikan?

Saya tidak ada jawapannya dan saya belum mendengar jawapannya. Untuk menganalisa hal ini, kita pertama-tama harus bersetuju dahulu bahawa intonasi dan ekspresi loghat ini dianggap 'kasar'. Jika kita tidak boleh sepakat dalam hal (gejala dan gambaran) ini, kita tidak mungkin mencari penyebab-penyebabnya.

Tetapi saya kurang bersetuju dengan kata 'kasar' di sini, mungkin kata yang lebih tepat bernada 'keras', atau 'tinggi' dan 'kuat'. Kasar selalu dikaitkan dengan adab kesopanan. Loghat Terengganu tidak menunjukkan sifat kurang adab tetapi penekanan dalam intonasi suaranya sekali imbas memang lebih 'keras'.

Dalam tulisan lepas, saya hanya mampu merumuskan bahawa loghat Terengganu menjadi sedemikian rupa kerana kedudukan lidah penuturnya yang rata di dalam mulut -- tidak sedinamik atau serancak penuturan bahasa Melayu rasmi, misalnya.

Dalam catatan hari ini, saya ingin memperkenalkan lagi beberapa kata Terengganu: cokeh (cokkeh), congek (co'ngek), bo'keh, ongek dan juga okeh. Dalam catatan sebelumnya, saya telah cuba mencari maksud rasmi di sebalik tiga ungkapan loghat ini yang ada kata-kata star'rang, sta'buk dan ske'peng.

Oleh kerana dua ungkapan telah dijelaskan, saya cuba huraikan (spekulasi saya semata-mata) ungkapan ketiga: tak dok star'rang. Ungkapan ini menggambarkan sesuatu yang tidak ada. Tak dok maksudnya 'tidak ada'. Dalam dua ungkapan lain, sta'buk dan ske'peng, ada kata ganda sebagai penekanan tetapi dalam ungkapan ini tidak ada kata ganda. Jadi maksudnya apa?

Dugaan saya, ungkapan tak dok star'rang bermaksud "tidak ada [walau] sebarang [apa-apa pun]". Jadi, kata star'rang itu asalnya (sekali lagi, spekulasi saya) dari kata "sebarang" (bahasa Melayu rasmi).

Saya meletakkan kata tambah 'walau' di tengah-tengah tiga ungkapan tersebut -- star'rang, sta'buk dan ske'peng -- kerana penekanan itu menunjukkan ada kata yang tersembunyi dalam ekspresi ini.

Misalnya, saya pernah jelaskan dalam satu catatan di web ini, rupuk makkan kambbing (atau, rumput [di +] makan [oleh] kambing) atau ikang makkan kuccing (ikan [di +] makan [oleh] kucing ).

Kedua-dua kata yang diberikan penekanan itu --makkan kambbing dan makkan kuccing -- menunjukkan struktur pertuturan orang Terengganu yang istimewa -- bagaimana intonasi dijadikan kaedah menghilangkan (dan, menjimatkan) bilangan kata dalam ayat (sebutan). Saya kira, di sini orang Terengganu boleh dianggap kreatif.

Tetapi, kenapa boleh bertukar "se-habuk" menjadi sta'buk dan "se-barang" menjadi star'rang? Maksud saya, daripada mana datangnya bunyi 't' dalam perkataan itu -- dari 'se-habuk' menjadi sta'buk? "Se" pada orang Terengganu bermaksud 'satu' (di sini bahasa Melayu rasmi). Kami membilang tanpa "satu" tetapi bermula dengan kata "se", dua, tiga, empat ...

Beberapa kata ini cokeh (cokkeh), congek (co'ngek), bokeh (bo'keh), ongek dan juga okeh, selain berbunyi seakan-akan sama, juga membawa maksud yang berdekatan. Cokeh itu sejenis kata kerja (verb) atau perbuatan (fi'il 'amal kata orang Arab) yang bermakna 'mencungkil'; sementara kata yang ditekan suaranya cokkeh menjelaskan sesuatu yang telah 'tercungkil'.

Congek, juga kata kerja, pula bermaksud menjongketkan sesuatu. Misalnya jongkang jongket, sejenis permainan kanaka-kanak, pada orang Terengganu disebut co'ngek cang'gung. Kata yang sama, apabila ditekan suaranya co'ngek bermakna sesuatu yang 'terjongket' -- misalnya kekuda (tempat duduk) atau bangku panjang yang terjongket di satu hujungnya akan disebut 'kudda co'ngek'.

Jadi, cokkeh dan co'ngek ini boleh dianggap kata-kata kerja yang telah berubah fungsi menjadi adjektif (past participle form of a verb); begitu juga kata bo'keh. Kata asalnya bokeh maksudnya membongkar atau mencabut sesuatu. Misalnya, umbi (batang) pokok yang tumbang dan ternampak akarnya disebut bo'keh (terbongkar) akarnya.

Bokeh jarang digunakan berbanding bo'keh -- mungkin sesuatu itu sukar dibongkarkan, jadi bokeh tidak menjadi kata kerja yang sering digunakan berbanding dua lagi kata kerja, cokeh dan congek. Tetapi usaha (perbuatan) untuk membongkarkan sesuatu disebut dengan kata kerja yang senada dengannya, okeh.* Tetapi kata ini tidak ada penekanannya, jadi tidak wujud kata o'keh!

Ongek** pula, sebagai kata kerja, bermaksud menggoyangkan atau menggoncangkan sesuatu. Sama seperti kata-kata ogeh dan ogoh dalam catatan yang lepas. Mungkin ongek ini lebih sederhana sifatnya goncangannya berbanding ogeh yang memerlukan lebih banyak tenaga.

Nota:* Kata ini saya tidak pasti sejauh mana popularnya di Terengganu tetapi di sekitar keluarga kami dan kampung kami, Pasir Panjang (Kuala Terengganu), kata ini memang digunakan dan difahami.

** Untuk menghurai lebih lanjut kata ini, saya perlukan maklum balas daripada pembaca Terengganu kerana bimbang penjelasan saya di sini lemah atau tersilap. Harap maklum: Fathi Aris Omar