Saturday, May 21, 2005

Satu sisi Batu Bersurat

Di Sungai Teresat, Kuala Berang di Terengga mui pula batu bersurat yang dinamai Batu Bersurat Kuala Berang bertarikh 1303 M. Batu bersurat ini ditulis dengan huruf Jawi. Tulisan Jawi ini mengambil huruf Arab dan menambah beberapa huruf lain sebagai melengkapi bunyi Melayu yang tidak terdapat dalam bahasa Arab.

Batu Bersurat Kuala Berang di atas ditulis pada empat bahagian. Perhatikan bahasa yang tertulis pada salah satu bahagian batu tersebut (setelah ditransliterasikan):

RasuluLlah dengan yang orang sahabi mereka (sekalian).
Asa pada Dewata Mulia Raya memberi hamba meneguhkan agama Islam.
Dengan benar bicara, derma mereka bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya.
Di benuaku ini pembantu agama RasuluLlah SallaLlahu alaihi wasallam raja mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam bumi pebantu itu fardhu pada sekalian raja mandalika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar. Bicara berbajikan betul pebantu itu maka titah Seri Paduka Tuan menduduki tamra ini di benua Terengganu adi pertama ada Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan di sasanakala. Baginda RasuluLlah telah lalu tujuh ratus dua.


Daripada kutipan di atas terlihat perkataan Dewata Mulia Raya masih digunakan walaupun yang dimaksud ialah Allah. Beberapa perkataan lain, seperti: mandalika (ketua wilayah), berbajikan (kebajikan = kebaikan), tamra (perintah rasmi), dan sasanakala (masa perintah agama) memperlihatkan perkataan Sanskrit sudah semakin berkurang.

Dicuri (lagi!) dari laman web ini

Friday, May 20, 2005

Mung nok 'gi dok?* [Siri 1]

Lihat juga siri II dan siri III yang mengupas persoalan ini di atas: Fathi Aris Omar

Nok 'gi dok?, ertinya nok (nak, hendak) + 'gi (pergi) + dok (tidak) = hendak pergi [atau] tidak?

Dalam struktur ayat pertuturan loghat Terengganu, ada beberapa kata 'tenggelam' di sebalik intonasinya (nada, naik turun suara).

Seperti contoh di atas, kata 'atau' tidak kedengaran tetapi dapat difahami oleh pendengar loghat ini.

Rupuk makkan kammbbing!, ertinya rupuk (rumput) + makkan (dimakan) + kammbbing (kambing) = rumput [di]makan [oleh] kambing

Perhatikan sebutan 'kambing' diberikan penekanan suara (naik turun), sama juga kata 'makan' sebagai menggantikan kata-kata yang dighaibkan (dibandingkan dengan struktur ayat rasmi bahasa Melayu)

Kenapa tercipta struktur ayat pertuturan seumpama ini di Terengganu tentu menarik perhatian pengkaji. Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi bentuk ayat ini? Berapakah stail pertuturan yang ada di negeri ini?

Saya tidak pasti sama ada sudah ada kajian khusus tentang hal ini -- mungkin jawapannya ada di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau universiti-universiti tempatan.

* Jawapan kepada soalan ini, mung nok 'gi dok?, sama ada nok (hendak, mahu) atau tak mboh (tidak hendak, tidak mahu). Namun, kata mboh tidak pernah berdiri sendiri.

Ia selalu berangkai dengan kata awalnya, tak, menjadi tak mboh. Jadi, mboh tidak boleh disamakan dengan mahu (secara berasingan).

Begitu juga kata 'tidak' yang disebut tak di sini (jawaban), sedangkan dalam format soalan kata 'tidak' disebut dok. Mung ertinya 'mu' atau 'kamu'.

Thursday, May 19, 2005

Kerutub ayam kampung Terengganu

Bahan-bahan:
1 ekor ayam kampung (yang sudah dibersih dan dipotong 4)
1 bungkus rempah gulai (cap bunga raya)
2 sudu besar kerisik
4 sudu besar cili giling
sedikit air asam jawa
sedikit belacan
6 sudu besar minyak masak
1 batang kulit kayu manis
2 biji buah pelaga
1 biji bunga lawang
1 1/2 sudu kecil garam
1 1/2 sudu kecil bahan perasa
1 sudu besar gula
1 biji kelapa
(ambil kepala santan)

Bahan untuk hiasan:
2 biji lada segar(dipotong 2)
1 biji bawang besar(dipotong 4)

Bahan untuk dikisar:
1 inci halia
1 inci lengkuas
4 ulas bawang putih
10 ulas bawang merah

Cara membuatnya:
1)Panaskan minyak dengan api perlahan.
Kemudian satukan bahan yang dikisar bersama dengan cili giling,rempah
gulai dan kerisik.

2)Setelah minyak panas,tumiskan kulit kayu manis,buah pelaga,cengkih dan bunga lawang sehingga naik bau.Kemudian tumiskan bahan yang dikisar tadi sehingga kekuningan dan pecah minyak.

3)Apabila rempah sudah garing masukkan air asam jawa,belacan dan ayam.

4)Masukkan sedikit air untuk empukkan daging ayam tersebut.

5)Setelah daging ayam empuk,masukkan kepala santan.Masak sehingga kuahnya pekat.Setelah itu barulah masukkan bawang besar dan cili segar yang telah di potong.Kacau sehingga masak.

Hidangan ini sesuai untuk makan tengahari atau menghidangkannya kepada tetamu yang bertandang kerumah.Selamat mencuba.Sesungguhnya ia ringkas dan mudah. Mmm...Sedap.

Dicuri sepenuhnya dari Ayantie, yang mengirimnya kepada web AnjungCafe pada 20 Oktober 2001

NOTA dari Fathi Aris Omar: Kalau tidak jadi masak, tolongggg jangan saman saya! Tolong tanya pada pengirim atau laman web Anjung Cafe seperti di atas tadi.

Datuk Bahaman lari ke Kg Paloh (1)

Demi keghairahan mencapai kemerdekaan, dia menyertai semua gerakan politik dan pasukan ketenteraan. Mula-mula bersama Pasukan Sukarela yang ditubuhkan Inggeris sebagai satu strategi sabotajnya bagi memudahkan kemasukan Jepun sewaktu Perang Dunia ke-2.

Waktu itu, Kesatuan Melayu Muda (KMM) percaya Jepun beria-ia ingin menghalau imperalisme Barat untuk bangsa Asia tetapi rupa-rupanya ia hanya helah. Kemudian dia menyertai pasukan tentera Jepun, Hai Ho, untuk menyokong gerakan rakyat anti-kependudukan Jepun.

Apabila Inggeris kembali selepas kekalahan Jepun pada 1945, dia menyertai Partai Komunis Malaya (PKM) untuk menentang penjajah itu. Selain KMM, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API), dia juga pernah menyertai Umno.

Tetapi Abu Samah Mohamad Kassim, anggota markas besar Rejimen ke-10 dan juga anggota jawatankuasa pusat PKM, bukan golongan kiri biasa. Golongannya ialah pasukan gerila Melayu yang tersedut masuk ke hutan demi menentang penjajahan Jepun dan Inggeris, kemudiannya terserap dalam PKM.

Abu Samah ialah warisan tokoh pejuang bangsa terkenal, Datuk Bahaman Tok Noh, seorang pembesar berlapan Pahang, yang melancarkan gerakan bersenjata menentang pengaruh Inggeris. Bahaman yang berasal dari Sumatera, terlibat dalam politik tempatan di Pahang dan Selangor. Beliau terlibat dalam menabalkan kesultanan di dua negeri itu yang kekal hingga ke hari ini.

Perang Bahaman, antara 1891 hingga 1895, bukan sahaja melibatkan dua negeri di Pantai Timur, Terengganu dan Kelantan. Malah ia turut meledakkan semangat anti-Inggeris di daerah-daerah di Selangor.

Menurut strategi Bahaman, Pahang dibahagikan kepada lima kawasan perang. Bahaman sendiri menguasai Temerloh, Bentong hingga ke sempadan Selangor; Mat Kilau di Ulu Pahang, Tok Gajah di Pulau Tawar, Panglima Muda Jempul di Pekan, dan Sultan Ahmad di Chenor.

Pada awalnya pasukan Bahaman mencapai kemenangan tetapi lama-kelamaan beransur tewas dan memaksanya bergerak di ulu Kelantan serta kemudian Kuala Terengganu untuk memulihkan kekuatan.

Di sini beliau disambut oleh ulama besar Terengganu dan anggota majlis mesyuarat kerajaan, Syed Abdul Rahman atau lebih popular Tok Ku Paloh (sebahagian kawasan itu sekarang dijadikan tapak Muzium Terengganu — penulis).

Tok Ku Paloh adalah guru kepada Haji Abdul Rahman Limbong yang kemudiannya melancarkan penentangan terhadap Inggeris di Terengganu. Bahaman ditawarkan ratusan anggota baru, termasuk beberapa panglima perang, selain bekalan, senjata dan peluru. Pada Jun 1894, Bahaman kembali ke Pahang melancarkan serangan baru terhadap Inggeris.

Menyedari sokongan di dua negeri di utara dan timur Pahang itu, Inggeris melobi sultan Terengganu dan Kelantan agar membuang Bahaman ke Thailand. Pada 1895, beliau bersama 60 pengikutnya dibuang daerah di Chiangmai, kawasan paling utara di Thailand, dan meninggal dunia serta dikebumikan di sana pada 1913.

Kubur Bahaman dipercayai terletak di sebuah bukit tidak jauh dari terowong jalan keretapi Khuntan, Thailand. Setelah Bahaman meninggal dunia, anaknya Tok Mat Lela kembali semula ke Semantan, tempat asal mereka, dan meninggal dunia pada 1944, ketika kependudukan Jepun.

Sementara seorang lagi anak (daripada 13 adik-beradik) tokoh pejuang Pahang itu, Datuk Mohamad dilantik sebagai penghulu Semantan dalam lingkungan tahun 1920-an. Beliau bagaimanapun dibuang daerah ke Selangor kerana didapati mendalangi gerakan bersenjata anti-Inggeris, antaranya menyerang balai polis, mempatih, menyebar surat-surat menentang penjajah dan merampas gudang garam milik saudagar Inggeris.

Mohammad Kassim Osman, ayah Abu Samah, merupakan seorang anggota gerakan bersenjata ini. Beliau meninggal dunia akibat diracun oleh tali barut Inggeris. Haji Daud, bapa Osman, pula merupakan sepupu Datuk Bahaman. Lihat bahagian II dan bahagian III di bawah

Wednesday, May 18, 2005

Datuk Bahaman lari ke Kg Paloh (2)

[Bahagian II, lihat bahagian I di atas dan bahagian III di bawah]

Abu Samah dilahirkan pada 1926. Dalam lingkungan usia 10 atau 11 tahun, beliau sudah merapati akinya Daeng Busu dan datuknya, termasuk Tok Mat Lela yang pulang dari buangan di Chiangmai.

Setahun selepas itu, semangat anti-Inggerisnya mula berputik. Pada usia 14 tahun pula, beliau dijadikan utusan untuk menyampaikan surat-surat rahsia antara sepupunya, orang kuat KMM, Tengku Mohammad dengan Abdul Rahman Talib, bekas menteri pelajaran, dan Mohamad Yassin (bapa seorang anggota kabinet, Kamarul Ariffin).

Sepupu inilah yang menyarankan beliau menyertai Pasukan Sukarela sebagai penghubung dengan aktivis-aktivis KMM dalam pasukan itu. Bagaimanapun usaha ini gagal apabila Jepun, yang kononnya berusaha mendapatkan kemerdekaan negara melalui KMM, mengharamkan kesatuan itu.

Abu Samah kemudiannya menyertai gerakan menentang Jepun. Ia bermula dengan kematian penghulu Semantan, cucu Datuk Bahaman, akibat diseksa tentera dari negara matahari terbit itu. Kematian ini membangkitkan perasaan antipenjajah yang besar di daerah tengah Pahang. Penghulu Maidin didapati menyeludup beras kepada gerakan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (MPAJA).

Walaupun mendapat kedudukan istimewa kemudiannya dalam pasukan Hai Ho di Singapura, perasaan anti-Jepunnya sangat tebal, lalu Abu Samah meninggalkan pasukan itu pada Januari 1945, selepas kematian abangnya Mohamad Yassin sebulan sebelumnya di tangan tali barut penjajah itu.

Beliau mula menyusun gerakan menentang Jepun, termasuk mobilisasi massa, seperti rapat umum yang melibatkan ribuan penduduk di sebuah ladang dan juga perarakan massa pada waktu malam di bandar Karak.

Selepas Inggeris menawan kembali Malaya, Abu Samah menyertai PKMM, mula-mula di Setapak, Kuala Lumpur pada 1946 kemudian di kampung halamannya, Semantan. Selepas itu, beliau dipilih menjadi setiausaha Pemuda Umno cawangan kampung berkenaan.

Beliau bergerak cergas melalui Umno sehingga terputus hubungan dengan gerakan-gerakan kiri. Tetapi pada Mac 1948, beliau secara rasmi menyertai PKM.

Selepas perang dunia ini, semangat menuntut kemerdekaan semakin berkobar-kobar, khususnya kumpulan-kumpulan kiri. Mereka meneriakkan 'Merdeka', sementara Umno masih dengan slogan lama, 'Hidup Melayu.'

Bagaimanapun ramai juga mereka yang berhaluan kiri, kira-kira 75 peratus daripada 600 orang, menyertai Umno di kawasan Abu Samah. Ini menyebabkan Inggeris mula melancarkan gerakan melumpuhkan perjuangan rakyat.

Penyertaannya dalam perarakan Hari Pekerja di Mentakab pada tahun itu kurang disenangi beberapa pihak, termasuk pemimpin Umno tempatan, selain dua perisik kerajaan dan ketua polis daerah berbangsa kulit putih. Abu Samah memilih jalan untuk tidak terlalu menampakkan diri.

Pada penghujung bulan Mei 1948, seorang anggota jawatankuasa pusat PKM mengadakan kem latihan di Lubuk Kawah, Temerloh dan merancang strategi lebih tersusun gerakan bersenjata bagi orang Melayu. Tokoh-tokoh utama Jabatan Kerja Melayu parti itu seperti Abdullah CD, Rashid Maidin, Kamarulzaman Teh, Wahi Anuar dan Musa Ahmad turut hadir.

Kader-kader dari seluruh Malaya turut serta, 36 orang semuanya dengan 10 laras senapang. Apabila penjajah mengisytiharkan Darurat tahun itu, kumpulan yang dilatih ini akhirnya dikenali Rejimen ke-10 PKM yang diketuai Alang Kassim, mula bergerak di seberang Temerloh, Pahang.

Dalam sekolah latihan ini, tiga kandungan asas yang diajar termasuklah masalah politik semasa waktu itu, cara-cara menggerakkan rakyat dan latihan ketenteraan.

"Sekolah latihan ini cukup berhasil bagi menghadapi perubahan situasi (politik) selanjutnya," akur Abu Samah dalam memoir politik tulisannya sendiri, Sejarah dan Perjuangan Kemerdekaan.

Bagaimanapun, Darurat juga merencatkan gerakan rejimen ini, khasnya selepas Kamarulzaman tertangkap pada 20 Jun 1948 dan dikenakan hukuman mati. Beliau bagaimanapun terselamat daripada hukuman ini apabila diampun oleh Sultan Pahang.

"Perisytiharan Darurat sudah memasuki bulan kedua, tapi pihak kami masih tidak tahu apa nak buat," tulis Abu Samah. "Askar, polis dan ejen perisik mulai muncul di pekan dan kampung."

Pada Jun 1949, Platun 5 rejimen ini dirancang. Musa mencadangkan kepada Abu Samah agar menyertai platun ini sebagai perajurit seksyen politik.

"Kehidupan ketenteraan dalam Platun 5 pada mulanya tidak menyeronokkan disebabkan pilih kasih Musa dalam melantik anggota markas platun yang tidak mempunyai semangat tanggungjawab yang baik, tidak kuat semangat disiplin dan tidak mempunyai moral dan budaya yang boleh dijadikan contoh teladan oleh perajurit," tulis beliau secara jujur dalam karya penting ini.

"Tetapi memikirkan demi usaha revolusi dan kemerdekaan tanahair, saya sempurnakan pasukan ini (dengan bantuan kawan-kawan). Kami mulai aktif, hari-hari membawa kawan-kawan berlatih ketenteraan, menyusun kawalan, mengajar kebudayaan, memandu kawan-kawan meronda ke kampung dan ikut serta membantu massa rakyat menumbuk padi dan pelbagai kegiatan lagi."

Datuk Bahaman lari ke Kg Paloh (3)

[Bahagian III dan akhir, lihat bahagian I dan bahagian II di atas]

Tidak lama selepas platun ini dibentuk, pada bulan September tahun yang sama, ia bergabung dengan platun-platun 1, 2 dan 4 bagi membentuk Kompeni A Rejimen ke-10 di sebuah hutan kecil di Kampung Songsang. Sasarannya untuk mengadakan perarakan jauh (long march) ke utara Pahang.

Kira-kira April 1952, Abdullah CD selaku komisar politik Rejimen ke-10 sampai di kawasan operasi Abu Samah di Semantan, sementara Rashid Maidin yang berjaya melepaskan diri dari tahanan Tajung Beruas, Melaka juga berada di situ. Setelah bertemu setiausaha agung PKM, Chen Ping, Abdullah menjadikan Semantan sebagai ibu pejabat markas besar rejimen ini.

Dalam perayaan menyambut ulang tahun ketiga tertubuhnya Rejimen ke-10, Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) pada 21 Mei 1952, Abu Samah dianugerahkan gelaran kehormat 'Pahlawan'. Turut dianugerahkan ialah 13 lagi perajurit, termasuk pingat 'Serikandi' kepada wanita.

Platun 5 juga mendapat penghargaan sebagai 'Platun Teladan' dan menerima wang serta surat-surat kepujian. Anugerah ini diberikan atas jasa-jasa besar mereka di medan perang, memobilisasi rakyat dan hasil-hasil yang berkesan memajukan gerakan anti-Inggeris.

Ia termasuk menjadikan kawasan sekitar bandar Temerloh pangkalan-pangkalan gerila, menundukkan pasukan African Rafles dari Kenya (yang diimport Inggeris), bekerjasama dengan Rejimen Askar Melayu yang patriotik, memecahkan sekatan akibat pembentukan kampung-kampung baru di bawah rancangan Briggs dan memulihkan Umno bahagian Temerloh.

Pemulihan Umno itu dianggap penting apabila semua organisasi lain telah diharamkan Inggeris. Tinggal parti Melayu ini sahaja peluang untuk rakyat melancarkan kesedaran politik. Mereka berjaya memberikan kesedaran dan hasilnya, ahli-ahli Umno mula mengubah slogan 'Hidup Melayu' kepada 'Merdeka' — slogan asal kemerdekaan yang diperjuangkan oleh nasionalis Melayu.

Bagi melancarkan lagi gerakan antipenjajah Inggeris, jawatankuasa pusat PKM memutuskan supaya Rejimen ke-10 bergerak di sempadan Thailand-Malaysia sebagai pangkalan baru. Perarakan panjang ini tidaklah mudah, malah penuh dugaan dan kesengsaraan.

(Waktu itu, tindakan berpangkalan di sempadan ini dianggap strategik, Bagaimanapun, akhirnya ia didapati satu kelemahan PKM dan Rejimen ke-10, khususnya. Chen Ping, dalam satu wawancara awal tahun ini, mengaku rejimen ini seharusnya terus berpangkalan di Sementan atau kawasan tengah Pahang untuk terus membangkitkan kesedaran massa petani.)

Perpindahan ke utara, dan kemudiannya ke Selatan Thailand sehingga ke bandar Patani, tidaklah mudah. Mereka bekerja keras meyakinkan pendudukan setempat, khususnya berdepan dengan propaganda Inggeris memburuk-burukkan PKM.

Mereka terpaksa menjawab propaganda itu dengan teladan yang baik yang bertentangan dengan propaganda negatif itu. Mereka akhirnya mendapat kepercayaan sehingga berjaya menubuhkan banyak pangkalan kecil di serata tempat di Selatan Thailand.

(Ketika lawatan penulis di muzim Kampung Perdamaian 12, kem asal markas besar Rejimen ke-10, di daerah Sukhirin, Thailand, terdapat sebuah peta besar tetapi ringkas yang menunjukkan taburan pangkalan-pangkalan kecil rejimen ini).

Dari kem inilah tercetus idea perjanjian damai yang kemudiannya dimaterai pada 2 Disember 1989. Pada Februari 1985, Mokhtar Mahmud Baginda, yang berhubung dengan timbalan perdana menteri waktu itu Ghafar Baba, bertemu dengan Abu Samah di kem penyusun massa Kampung Sowo, tidak jauh dari Sukhirin.

Bagaimanapun, dewan jawatankuasa pusat utara Malaya PKM mempunyai hujah lain berhubung usaha berdamai, walau markas besar Rejimen ke-10 dan dewan rendah Utara Malaya telah bersetuju. Selepas ini tiada keputusan diambil.

Pada 25 Jun 1987, Abdullah CD atas nama Rejimen ke-10 menulis surat kepada Ghafar, atas sifatnya timbalan perdana menteri, menyatakan persetujuan untuk berdamai. Surat persetujuan balas dari kerajaan Malaysia bertarikh 7 September tahun itu diterima.

Ia disusuli surat Abdullah pada 1 Oktober untuk menetapkan tarikh dan tempat berunding. Akhirnya satu tempat yang dipersetujui, termasuk oleh kerajaan Thailand, bersama dipilih. Ia diadakan di sebuah pangkalan desa Rejimen ke-10.

(Dalam perjanjian ini, PKM akhirnya diiktiraf oleh kedua-dua kerajaan itu sebagai sebahagian daya sejarah yang penting untuk mempercepatkan kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957.)

"Mengenangi dan mempelajari kisah-kisah gemilang perjuangan mulia melawan imperalisme British yang hendak menakluki negeri Pahang yang dipimpin oleh nenek saya Datok Bahaman bin Tok Noh inilah yang telah mengilhamkan saya mewarisi tradisinya dengan menyambung cita-cita dan wawasannya bangkit berjuang melawan pendudukan imperalisme British yang tercokol di negara ini demi untuk kemerdekaan dan pembebasan bangsa, agama dan tanahair tercinta!" tulis Abu Samah mengakhiri buku bersejarah lagi penting ini, tetapi sukar diperolehi di negaranya sendiri!

Tulisan ini, diterbitkan oleh akhbar web ini pada 31 Ogos 2002, diolah daripada memoir politik karya Abu Samah sendiri, Sejarah dan Perjuangan Kemerdekaan (1996). Beliau kini menetap di kem asal Rejimen ke-10 PKM di sempadan Malaysia-Thailand, tidak jauh dari daerah Sukhirin. Saya melawat kem ini Mei 2002 di Perkampungan Damai (Ban Chulabhorn Pattana 12), yang kini dijadikan destinasi pelancongan.

Tuesday, May 17, 2005

Duku Terengganu asal Jawa?

Entah mungkin kerana terlalu rindu pada bumi sendiri, Kuala Terengganu dan desa saya Pasir Panjang, saya 'perasan' beberapa kata di Jakarta ini (mungkin pengaruh Jawa?) mempunyai persamaan dengan kata-kata dalam loghat Terengganu.

Misalnya kata-kata ini, 'got' dan 'kocok'. Kata-kata ini tidak ada di sebelah pantai barat dan selatan Semenanjung, tetapi tiba-tiba muncul di Terengganu. Kenapa boleh ada semacam 'persamaan' ini sedang kedudukan geografinya agak jauh?

Selalunya pengaruh Sumatera, Riau, Bugis (Makasar) dan Jawa akan bertompok di kawasan-kawasan penempatan di negeri-negeri barat dan selatan Semenanjung.

Menurut Dr Shafie Abu Bakar, dulu pensyarah UKM dan pernah menjadi wakil rakyat PAS di Kajang, hubungan Terengganu dengan Jawa (Timur) memang telah lama wujud -- khususnya dalam bidang pengajian Islam.

Tambahnya, duku Terengganu yang banyak ditanam di pingir-pinggir Sungai Terengganu, kawasan Paloh hingga Belada, memang kawasan perkampungan asal orang Terengganu, pusat peradaban awal (juga, pengajian Islam) memang bergerak antara bandar Kuala Terengganu (juga disebut Tanjung) hinga ke kawasan-kawasan pedalaman ini melalui sungai-sungai besar ini.

Pada abad ke-19, misalnya akhir abad ini, Sultan Terengganu memperkenalkan hudud. Abad ke-19 ini 'abad Pencerahan' (ilmu Islam) di negeri saya itu.

Kenapa duku Terengganu, yang dianggap species (atau klon?) duku yang baik di negara kita, hanya ada di Terengganu, tidak terdapat di tempat-tempat lain? Mungkin juga benihnya dibawa dari Jawa bahagian Timur (dan, khabarnya, akibat berkat tuan-tuan guru itu) ia menjadi sejenis buah-buahan yang sedap.

Satu hal menarik, kewujudan muzik gamelan. Tidak syak lagi ia diambil dari Jawa, bukannya dicampakkan oleh 'burung garuda' seperti diceritakan dalam satu riwayat. Nota: saya tidak pernah membaca riwayat ini tetapi saya mendapat maklumat ini dari seorang teman saya (bekerja di Mardi Serdang) yang dulu menuntut seni halus (tahun 1970-an) di Institut Teknologi Mara (sekarang dikenali, UiTM).

Kerajaan Terengganu, seperti diceritakan dalam sejarah, memang dibangunkan oleh kerajaan Pattani dan sebelumnya, seperti Kelantan dan sebahagian wilayah Kedah dan utara Perak, berada di bawah kerajaan hebat di selatan Thai ini.

Harus diingat, tulang belakang bahasa Indonesia itu sendiri diambil daripada bahasa Melayu, kemudian mengalami evolusi (menyerap kepelbagaian) daripada beberapa pengaruh pemikiran dan budaya, misalnya Arab (Islam), Eropah (Belanda dan Inggeris) dan juga tidak lupa, Jawa -- tamadun yang kaya dan lebih kukuh di sini.

Monday, May 16, 2005

Orang Te'ganu (dulu?) rajing ....

Dalam hubungan dengan kedatangan Islam ke Terengganu maka maklumat berkenaan dengan Batu Bersurat Terengganu menjadi bahan perbincangan yang diminati. Batu Bersurat yangt ditemui di Sungai Tersat, Kuala Berang, Terengganu itu tercatit padanya tarikh 702 Hijrah, yang bersamaan dengan 1303 Masihi. Ukiran tulisan Jawi pada batu itu menandakan kesan kedatangan Islam ke Terengganu khasnya dan ke Semenanjung amnya. Padanya terpahat undang-undang berkenaan dengan beberapa jenayah dan hukuman yang setimpal untuknya.

Kerajaan yang terawal dalam perbincangan sejarah yang boleh dikesan di Terengganu bertarikh pada 1225 Masihi. Dikatakan Terengganu pernah ditakluki oleh Palembang, Sumatera, sama seperti Kelantan, Pahang dan Langkasuka. Dalam rekod Cina di abad ke-13 Masihi dinyatakan tentang kewujudan pusat perdagangan penting di Sungai Terengganu pada waktu itu.

Tschau Jou Kua menulis dalam tahun 1225 Masihi menyebut tentang Tong-yan-nong dan Kilantan sebagai dua pelabuhan di pantai Semenanjung Tanah Melayu dan meletakkan kedua-duanya sebagai negeri-negeri yang berada di bawah pengaruh San fo tsi (Sriwijaya, Palembang).

Kemudian Pelliott menulis dalam tahun 1901 (jilid 4, halaman 344) memberi beberapa versi Cina bagi nama-nama itu; termasuk antaranya Ting ko nou daripada sumber berjudul Hai kouo wen kien lou; Ting ko lou dan Ting kia lou daripada sumber yang disebut sebagai Ying honan tche lio: Ting kia lo daripada sumber lain bernama Hai loh yang mungkin merujuk kepada Hai lu sui shih yang dihimpunkan oleh Yeh T’ing Kuei dalam tahun 1149 Masihi.

Tidak lama selepas satu abad daripada Tehan Jou Kua, Wang Tan Yuan menyebut Terengganu dan mencatit dalam tahun 1349 tentang adanya amalan pengurbanan manusia kepada berhala-berhala daripada kayu, mungkin Kali, sebagai dewi maut mengikut ajaran Hindu dalam kawasan itu. (24).

Pada tarikh yang tidak mungkin terlewat daripada 1336 (atau mengikut perkiraan yang satu lagi 1303) Masihi sudah terdapat kerajaan di Terengganu yang beragama Islam dan menjadikan agama itu sebagai agama negerinya. Ini berdasarkan Batu Bersurat Terengganu yang merupakan bukti semasa yang terawal berkenaan dengan pengaruh Islam di Semenanjung.

Dalam tulisannya Sheppard menyatakan bahawa, manakala Orang-Orang Arab dan India singgah dan mendiami kawasan pantai Barat Semenanjung, maka orang-orang Khmer yang belayar dari Cambodia dan Orang-Orang Cina pula mungkin merupakan orang-orang yang selalu melawati pantai Timur Semenanjung buat beberapa abad lamanya sebelum Raja Mandulika memasyhurkan undang-undang Islamnya; dan kebolehan yang luar biasa yang ada pada Orang Kelantan dan Terengganu dalam bidang pertukangan tangan mungkin sebahagian daripadanya datang daripada pengaruh Khmer sebelum dan selepas kerajaan yang membina Angkor Watt itu dikalahkan oleh Orang Thai tahun 1292.

Nampaknya Islam diterima di Terengganu sebelum daripada Melaka sekurang-kurangnya sesuku abad - kalaupun tidak lebih awal lagi daripada itu. Mungkin Terengganu yang berada di jalan perniagaan laut itu terdedah kepada Orang Arab yang datang berniaga dan juga menjalankan kegiatan dakwah di sana; mereka itulah yang membawa Islam ke negeri Cina dalam abad ke-7 Masihi, yang datang mendahului Marco Polo ke pantai timur Sumatera pada tahun 1292 Masihi.

Tanpa berpanjang kalam berkenaan dengan sejarah awal Terengganu dengan hubungannya dengan Melaka dan Pahang, dan seterusnya, maka boleh disebutkan bahawa Sultan Terengganu yang pertama dalam sejarahnya ialah Tun Zainal Abidin, tetapi mengikut ahli sejarah Terengganu beliau itu diletakkan atas singgahsana pemerintahan Terengganu melalui pengaruh sahabat baik Permaisuri Petani yang dilaporkan bernama Nang Cayam, tetapi mengikut ahli sejarah Bugis pula Raja Tua Bugis dari Riau yang meletakkan baginda atas singgahsana itu. Mengikut Tuhfatul-Nafis ini berlaku tahun 1723 Masihi.

Tanpa berpanjang kalam juga tentang peristiwa-peristiwa siasah berhubungan dengan pemerintahan Siamnya, keberadaannya di bawah pengaruh British, sampailah ke zaman kemerdekaan, demikian seterusnya, yang kita hendak berikan perhatian di sini ialah ciri-ciri Terengganu sebagai negeri Timur Laut bersekali dengan Kelantan termasuk Petani (walaupun tidak saya bicarakan di sini), serta juga Campa dan Kemboja yang berada di bahagian pantai itu membina hidup ketamadunan yang bertunjangkan Islam dan memanifestasikan pegangan dan kehidupan Islam dan juga yang mempunyai sifat-sifat kemasyarakatan dan akliah yang memberi potensi kepada perkembangan yang lebih banyak dan baik pada masa depannya dengan izin Ilahi.

Tentang sifat-sifat orang Terengganu dengan kepandaian dan kemahirannya dalam pertukangan ini dipuji oleh Clifford dalam catitan-catitannya, sebagaimana kata Sheppard (25)

Clifford describes the people of Terengganu as the most ingenious and among the most industrious of Malays in the Peninsula ...

Ertinya: "Clifford memberi gambaran tentang Orang Terengganu sebagai orang-orang yang paling pandai dan mahir dan juga paling rajin di kalangan orang-orang Melayu Semenanjung ..."

Digambarkan bagaimana dahulunya mereka itu pandai membuat barangan-barangan seperti sutera, bahan-bahan dari kapas, senjata-senjata, bahan-bahan daripada besi dan alat-alat daripada kayu; juga bahan-bahan dibuat daripada tembaga putih dan lain-lainnya yang menunjukkan tahap kemahiran yang tinggi. Bertenun dilakukan oleh para wanita.

Perkembangan agama Islam berjalan dengan baik antaranya dengan adanya raja-raja Terengganu yang mengambil berat tentang itu, seperti yang berlaku pada masa pemerintahan Sultan Zain al-‘Abidin dalam awal abad ke-XX. Dialah yang mengadakan Undang-Undang Tuboh Negri yang merupakan perlembagaan negeri.

Semangat merdeka orang Terengganu boleh dilihat pada aktiviti Haji ‘Abdul Rahman Limbong dalam menghadapi British, demikian juga kegiatan To’ Ku Paloh. Ulama Terengganu yang paling termasyhur namanya ialah tanpa syak dan ragu lagi To’ Pulau Manis atau Syaikh ‘Abdul Malik bin ‘Abdullah yang terkenal dengan kitab Hikam-nya yang diteliti oleh Dr Shafie Abu Bakar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dicuri sewaktu mencari di Google.com

NOTA dari Fathi Aris Omar: Orang Te'ganu misti brahi bace tulisang 'ni. Pantang kena puji! Tapi le 'ning, guane? Orang Terengganu masih rajin-rajin dan pintar-pintar, atau tidak? Rajing sokmo, dok?