Sunday, May 29, 2005

Beronok sagu, sedapnya!

Dulu, sewaktu Wan Mokhtar Wan Ahmad masih sebagai menteri besar (sebelum ditewaskan pada 1999), Terengganu pernah menganjurkan acara promosi pelancongan dengan tema yang saya suka sekali, 'negeri cantik, budaya menarik, orangnya baik'.

Tetapi perlahan-lahan slogan ini hanya menjadi dua patah 'negeri cantik, budaya menarik' tetapi patah seterusnya 'orangnya baik' hilang entah ke mana.

Apakah orang Terengganu sendiri enggan mengiktiraf kebaikan warganya sendiri? Atau, memang sukar memakai slogan yang muluk-muluk dan terlalu subjektif 'orangnya baik'? Atau, kita tidak mempunyai komitmen untuk membaikkan warga -- atau, warga yang baik bukan sejenis produk pelancongan, tidak seperti 'negeri cantik, budaya menarik'?

Alamak! Berbau politik pula soalan-soalan ini. OK, kita tinggalkan soalan itu di sini.

Sesiapa yang ingin berkenalan dengan Terengganu, bolehlah melawat halaman web ini 'Koleksi Terengganu' yang disediakan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT).

Nota: Perhatikan foto kecil di bawah, penjuru kiri. Foto ini sebuah bangunan yang berada di tengah bandar Kuala Terengganu yang menempatkan perpustakaan awam yang lama. Perpustakaan inilah tempat yang setia menerima peminat buku seperti saya, sejak 1980, termasuk meminjam novel Sekuntum Duri yang kemudian menimbulkan 'misteri dalam memori' saya selama lebih 20 tahun!

Perpustakaan yang baru terletak di padang Hiliran, ke arah jambatan Sultan Mahmud (jalan menuju Besut atau Kota Bharu). Foto bangunan baru yang besar itu (belum pernah saya lawati) boleh dilihat di muka depan laman web PPAT.

Tetapi ketika berkubu di Utan Kayu, Jakarta saat ini, saya tidak tertarik pada koleksi buku-buku perpustakaan ini. Di bilik saya sahaja bertimbun-timbun buku yang menanti dihadamkan, sementara beberapa minggu ke depan ini saya bercadang membeli lagi!

Saat ini, saya lebih tertarik (dan, berangan-angan) pada jenis-jenis makanan Terengganu yang menggembirakan seperti di laman 'Koleksi Terengganu', misalnya 'beronok sagu' dan 'nasi dagang'. Hmmm...

Nota: Kepada kakitangan perpustakaan Terengganu, terima kasih banyak atas khidmat anda selama ini dan juga maaf ... ada sebuah buku immunology belum dipulangkan!

Saturday, May 28, 2005

Ada apa dengan Usman Awang?

Lama sudah saya membuat spekulasi ini tetapi belum menulisnya. Di kalangan teman-teman, saya sering bergurau tentang hal ini -- dan sering pula dianggap cuba membesar-besarkan negeri sendiri.

Malulah, kalau mahu berebut tokoh besar seumpama almarhum Usman Awang. Kalau dia dilahirkan di Johor, maka senang sahaja disebut anak Johor. Tetapi ... ada apa dengan Usman Awang? Atau, lebih tepat, ada apa dengan 'Awang'?

Bukankah nama Awang itu bukan nama orang Johor?

Awang ini satu daripada beberapa nama khusus orang Pantai Timur, khususnya Terengganu (tidak dinafikan juga di Kelantan). Nama-nama khusus lain di negeri Baru Bersurat ini: Embong (apakah dari kata 'embun'?), Endut (ini asalnya?), Jusoh (kemungkinan besar dari nama Yusuf), Kuntum (disebut 'Kuntong' dalam loghat Terengganu), Senik, Ambok (atau, Ambak?) dan juga Ngah (apakah dari nama 'tengah' seperti Long daripada yang 'sulung' dan Su daripada yang 'bongsu').

Ada berapa lagi nama yang khusus yang boleh dianggap mewakili keistimewaan panggilan di Terengganu?

Sebab itu, dengan beberapa siri tulisan saya di sini -- tentang penyebaran loghat Terengganu di sepanjang pantai (di luar negeri ini) dari Kuantan, Pahang hingga Mersing, Johor -- saya mempunyai sangkaan yang kuat bahawa darah keturunan Sasterawan Negara yang dihormati semua pihak ini asalnya Terengganu.

Almarhum dilahirkan di Kuala Sedili, satu perkampungan kecil yang memang sering menempatkan orang Terengganu. Saya kutip biodata ringkas almarhum Usman seperti disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP):

"Lahir: 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor.

"Ketokohan Usman Awang dalam dunia persuratan Melayu moden, khususnya sajak dan drama amat banyak diperkatakan. Maka itu nama Usman Awang paling terkenal kepada semua pengkaji dan peminat sastera Melayu di pelbagai peringkat dan golongan. Kejayaannya mempertahankan dirinya sebagai seorang penyair dan budayawan yang terus kreatif memberikan rasa keteguhan terhadap tradisi baharu sastera kita. Beliau adalah seorang penyair yang tidak pernah luntur dan dapat menyesuaikan dirinya dengan pelbagai zaman dan situasi.

"Pendidikan yang diterima oleh Usman Awang hanyalah setakat sekolah Melayu sahaja. Situasi dan keluarganya yang miskin tidak membenarkan beliau untuk mengecap kejayaan dengan lebih jauh dalam bidang pendidikan. Beliau disekolahkan di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani Muar (1940) hingga lulus darjah VI.

"Semasa pendudukan Jepun di Malaya pada tahun 1942, Usman Awang menjadi petani di Segamat. Tidak lama kemudian beliau menjadi buruh paksa Jepun selama enam bulan di Singapura, beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Usman Awang pernah menjadi ‘budak pejabat’ di Pejabat Taliair Segamat dalam zaman Jepun dan kemudiannya memasuki Pasukan Polis Jepun (Botai), tetapi selepas beberapa minggu menjalani latihan, pihak Jepun menyerah kalah."

Tentu keluarga almarhum dapat menjawab teka-teki saya ini, dan tentunya genealogy tokoh besar kita dapat diungkapkan lebih mendalam -- Fathi Aris Omar

Mek comel & mek manis

Orang Terengganu, jika dia membaca tajuk di atas, pasti ada yang ketawa. Pasal?

Mek ini, sedikit sebanyak sama dengan penggunaan kata 'minah' di Kuala Lumpur atau Johor Bahru. Kata yang lebih panjang 'semek'. Kata ini hanya untuk wanita, selalunya gelaran umum kepada mereka yang lebih muda daripada penutur. Jadi, tingkat ke-semek-an seseorang itu berbeza-beza.

Ungkapan ini ditujukan kerana kita tidak mengenali nama khususnya, dan diungkap untuk berbicara secara sopan, misalnya 'miss' atau 'mister' dalam bahasa Inggeris.

'Awang' pula kata sepadan untuk lelaki -- juga ditujukan kepada lelaki yang lebih muda daripada penutur.

Seperti kata abang dan kakak untuk gelaran kepada yang lebih tua; sementara adik pula kata panggilan sopan kepada seseorang yang lebih muda dan tidak diketahui nama khusus.

Tetapi 'mek comel' pula bukan gelaran untuk orang atau seseorang -- ia sejenis nama kuih yang selalu dimakan di waktu petang!

NOTA: Kerana masa terbatas, akan dikemas kini catatan pendek ini di waktu yang lain -- Fathi Aris Omar

Friday, May 27, 2005

Loghat Terengganu dipengaruhi Jawa

Catatan ini elok dibaca bersama artikel berikut, 'Duku Terengganu asal Jawa?'

Akhirnya bukan kerana rindu. Memang sudah ada orang Terengganu yang menyedari, bahawa, terdapat kata-kata dalam pertuturan negeri ini dipengaruhi, atau mempunyai persamaan, dengan perkataan Jawa. Lihat tulisan ini, sekali lagi, dari blog 'Di bawah rang ikan kering' miliknya Pokku atau Ayohku Bustamann. Saya curi, sekali lagi, sedikit di sini:

Mek Yam and UZ raised an interesting point. They pointed out that some Terengganu words are similar to Javanese words. Words like arong, jerang andjarang.

Beliau juga memohon kepada pembaca atau sesiapa yang mengetahui adanya persamaan kata antara Terengganu dengan Jawa agar menghubunginya: I would appreciate any more Terengganu words that could have Javanese roots. Conversely, send me a list of Javanese words (with their meanings) and I will pick those that are used in Terengganu.

Tetapi persoalan selanjutnya, sebagai analisa, apakah kata-kata Jawa di Terengganu ini diambil dari pulau Jawa (sama ada interaksi perdagangan, politik, budaya atau agama), atau diambil dari orang-orang Jawa di Semenanjung, misalnya dari pantai barat Johor (kecuali Negeri Sembilan) hingga Tanjung Karang, Selangor? Perlu juga diingat pergerakan orang Jawa ke Semenanjung sudah memakan masa ratusan tahun.

Jika kita menggunakan data-data sejarah tentang pengajian Islam di dua negeri ini, antara Terengganu dengan Jawa (timur), kemungkinan besar kemasukan kata itu kuat kesannya. Seseorang Terengganu yang belajar di Jawa, kemudiannya pulang ke Terengganu, tentu bukan sahaja menguasai Arab tetapi juga bahasa Jawa.

Sifat istimewa orang Jawa (di sepanjang sejarahnya) ialah daya serap dan ubah suai (adaptability) yang tinggi sehingga nilai dan pemikiran asing (Hindu, Islam atau Belanda) mengalami asimilasi yang secukupnya. Budaya Jawa yang mantap itu berjaya memproses keasingan sesuatu nilai luar -- sebab itu, lahirlah aliran-aliran kejawen (kebatinan), 'Islam abangan' dan 'Islam kultural' (cultural Islam) yang dikaitkan dengan Jawa Timur, misalnya pertubuhan sosial (dulu, pernah menjadi parti politik) Nahdlatul Ulama (NU) sekarang. Daerah timur pulau ini memang kaya dengan pesantren-pesantren yang mengajarkan kita-kitab kuning, selain kitab-kitab Arab (termasuk beberapa dari beberapa aliran pemikiran).

Tafsir Islam Jawa yang telah diasimilasi dalam bahasa dan budaya mereka itulah -- pada 'teori' saya -- yang dipindahkan ooleh penuntut-penuntut agama dari Terengganu. Apabila mereka pulang, memang telah menjadi tradisi, guru-guru agama ini akan mengajar (kata orang Terengganu, tradisi naddah kitab) kepada orang ramai, khususnya masyarakat setempat. Kemungkinan besar terserapnya pengaruh kata Jawa ke dalam sistem loghat Terengganu melalui interaksi sosio-budaya seumpama ini.

Kedua, selain pengajian agama, kemungkinan melalui perdagangan kerana pergerakan pengajian Islam ini sering juga berselari dengan kegiatan perniagaan.

Jika bahasa Jawa masuk melalui kelas atasan atau kelas pemerintahan, misalnya muzik gamelan di istana, sulit untuk membayangkan penyebaran meluas bahasa kerana sifat masyarakat Melayu, termasuk di Terengganu, yang berlapis-lapis. Seperti sistem kelas dalam masyarakat Jawa, masyarakat kelas atas Terengganu juga ada adat (etiket) dan 'bahasa halus' mereka yang berbeza dengan 'bahasa kasar' orang ramai.

Nota: Tanjung Karang, Kuala Selangor dan Sawah Sempadan di Selangor ini sering mengundang 'sentimentaliti' yang pelik di dalam diri saya ... (hehehe)

Dari Kuantan ke Mersing

Catatan pendek berikut (diambil dari laman web Galeria Kuantan) sekadar menghuraikan lagi artikel saya sebelumnya, 'Kenapa jadi ikang?'

"Oleh sebab Kuantan merupakan sebuah bandar yang 'muda' secara relatifnya, ia tidak memiliki banyak budaya tradisi tempatan yang unik, melainkan yang dibawa oleh mereka yang berasal dari luar dan menetap di Kuantan, khususnya dari negeri Terengganu dan Kelantan.

"Oleh sebab itu, amat mudah untuk mendengar orang ramai di Kuantan bercakap dalam loghat Terengganu dan Kelantan, sementara makanan tradisional dan kegemaran dari kedua-dua negeri itu juga popular di sini. Jauh sedikit dari bandar Kuantan sendiri, iaitu ke arah barat dan selatan, barulah budaya tradisi Pahang dapat diperhatikan sedikit demi sedikit."

Pandangan ini benar sekali untuk menggambarkan pengaruh loghat-loghat Terengganu dan Kelantan di sepanjang pantai timur Pahang-Johor antara Kuantan hingga ke Mersing dan Pulau Tioman.

Nota: Saya pernah ke Mersing dan Teluk Juwara, di timur Pulau Tioman (Julai, 2001) dan saya terpikat dengan penuturan loghat dua negeri ini di lokasi-lokasi ini. Begitu juga beberapa lokasi sepanjang jalan antara Kuantan hingga Mersing. Bentuk muka buminya tidak ubah perjalanan dari Pattani (selatan Thailand, 2002) ke Mersing (yang mengingatkan perjalanan saya dari Medan ke Banda Aceh, November 2001). Apatah lagi, teluk ini memang indah, tenang dan mengasyikkan. Kami berjalan kaki dari pantai barat pulau ini merentasi bukit di tengahnya dan sampai di Teluk Juwara -- dan di sini ada sebuah warung Internet!

Thursday, May 26, 2005

Tohok-lah, berak nanang!

Tulisan ini elok dibaca bersama Siri I, Siri II dan Siri III: Fathi Aris Omar

Sudah beberapa tahun saya berangan-angan membina daftar kata-kata khusus loghat Terengganu, perkataan dan ungkapan yang tidak mungkin ditemui dalam kosa kata negeri-negeri lain.

Bagi saya, ciri khusus akal budi dan budaya penduduk negeri ini, termasuk saya, sedikit sebanyak boleh terungkapkan melalui kajian kita tentang kata-kata khusus ini.

Harus diingat, tidak banyak akses ke negeri ini (dalam 'teori' saya yang spekulatif). Terengganu dari segi geografinya hanya boleh ditembusi melalui laut. Ada teori mengenai 'jalan rentas Semenanjung' tetapi (jika benar-benar ada) pastilah tidak semudah laluan perhubungan melalui laut.

'Jalan rentas' Semenanjung ini mengandaikan ada pergerakan manusia di antara wilayah-wilayah ketamadunan (yang umumnya berpusat di kuala sungai) melalui sungai (hingga ke hulu) dan kemudiannya mereka berjalan kaki (mengangkat barang dan perahu) untuk menemui anak-anak sungai lain di seberangnya (antara pantai barat dengan pantai timur).

Pantai-pantai barat dan timur Semenanjung, seperti kita maklum, dipisahkan oleh hutan tebal dan banjaran gunung-ganang Titiwangsa -- antara kawasan hutan hujan tropika yang tertua di dunia. Tidak pelik apabila ia mendapat jolokan golden chersonese (atau, semenanjung emas) -- disebut dalam karya Ptolemy -- kerana hanya banjaran yang tua boleh memendapkan bijih-bijih emas yang matang (tua).

Saya mempunyai 'teori' (baca: spekulasi yang tidak didasarkan pada kajian) tentang: (a) stok biologi, atau keturunan, orang Terengganu, dan (b) pembentukan budaya khusus negeri ini, khasnya sistem loghatnya. Saya mengandaikan, kedudukan geografinya ini telah menghasilkan ciri-ciri khusus ini dan, dari sini, kita boleh menilai pula stok biologi dan stok budaya yang berinteraksi dan membentuk masyarakat Terengganu hingga hari ini.

Oh ya, sebelum membebel lebih jauh, saya sedang menyenaraikan beberapa kata itu. Antaranya, seperti tajuk artikel ini 'tohok-lah, berat nanang!'

Umumnya, seperti dijelaskan kelmarin, orang Terengganu menyebut 'o', dengan maksud diphthong, bukannya 'o' seperti dipelajari dalam bahasa Melayu rasmi. Hairannya, ada kekecualian pada kata 'to-hok' ini. Kata ini memakai sebutan 'o' secara monothong. Tohok ertinya 'buang', kadang-kadang disebut secara berganda 'tohok buang' untuk menunjukkan penekanan.

'Berak' bukanlah kata khusus Terengganu, ia hanya sebutan loghat ini bagi kata 'berat'. Begitu juga ungkapan 'lah' yang sama dengan penggunaannya dalam bahasa rasmi. 'Nanang' (atau, 'nannang') pula tidak mempunyai apa-apa makna kecuali kata ganda. Bahasa Melayu, termasuk loghat Terengganu, memang kaya dengan kata seumpama ini. Tetapi tidaklah khusus pada bahasa kita; orang Inggeris juga ada kata ganda, misalnya, nitty gritty yang sama erti dengan 'remeh-temeh' atau 'titik bengit'.

Contoh lain kata-kata ganda dalam loghat Terengganu seperti berikut: busuk bango (BM*, terlalu busuk), bising bango (BM, terlalu bising), dene pe (BM, anak yang terlalu manja atau tanah yang terlalu becak), gelak kattuk atau gelak gelemak** (BM, terlalu gelap), celerek tek (BM, bertaburan di mana-mana, atau, kain yang terlalu labuh), kerek teh (BM, terlalu kerap), bedo'oh lalu (BM, sangat keterlaluan), dan lese we (BM, terlalu rata).

Nota: *BM ertinya bahasa Melayu; **'gelemak' ini disyaki ubah suai kata (pinjaman) Arab zulmat.

Ada lagi beberapa kata ganda (sekadar contoh) tetapi semuanya berkaitan dengan warna, misalnya kuning si'nyo, putih selepuk, atau hija (atau, ija?) na'ung. Kata ganda merah nyalla itu tidak khusus Terengganu, ia sama maksudnya dengan 'merah menyala'.

Untuk tidak memanjangkan tulisan ini, saya hanya menyenaraikan beberapa kata yang saya ingat (selepas terjaga dari tidur pagi tadi dan disusun di sini secara spontan seperti terlintas dalam fikiran waktu itu):

kara, ranya, kerek, dene, bedo'oh (atau, do'oh), noneng, plekong (atau, pletong), tohok, bangak, katuk, katok, jenggi, 'nja, nengung, teluh, parok, gelenya, se'eh, cekoh, cero (atau, ceroi?), lese, kutil, krutih, peng lalak (juga, lalak peng), serek, siyek, netting dan 'dokrok'. (Kita akan diskusikan lagi kata-kata ini di siri-siri tulisan yang lain).

Nota akhir untuk artikel ini: Selain berkongsi dengan banyak kata Melayu rasmi, loghat Terengganu juga berkongsi dengan kata-kata dari loghat Kelantan dan Kedah (utara). Jadi, mungkin sebahagian kata yang dianggap 'khusus' pada Terengganu juga ada pada loghat di dua negeri ini. Pembaca yang mempunyai senarai kata khusus ini, silalah hubungi saya di e-mel ini. Sama-samalah kita merekodkan dan mempromosikan loghat Terengganu di alam siber :)

Wednesday, May 25, 2005

Tak dok orang sinning!

Jangan terkejut, di negeri kami Terengganu, 'o'-rang tidak pernah ada kecuali pelancong dari negeri-negeri luar atau negara asing.

Di negeri kami hanya ada 'o'-rang. Nota: 'o' di perkataan sebelah bunyinya sama dengan perkataan-perkataan Inggeris 'or' (maksud, 'atau') atau 'ore' (maksud, 'bijih').

Bunyi huruf vowel 'o' di lidah orang Terengganu tidak sama dengan sebutan asalnya (monothong) dalam bahasa Inggeris (yang kemudian dijadikan bahasa Melayu rasmi) tetapi telah diubah menjadi (bunyinya) 'or' (perkataan Inggeris yang bermaksud, 'atau').

Perubahan bunyi huruf vowel dalam sesuatu perkataan disebut, pada sisi ilmu fonetik (sebutan) diphthong. Jika kita mengekalkan sebutan asalnya dalam perkataan (misalnya sebutan rasmi 'o'-rang dengan bahasa Melayu), kaedah ini disebut monothong.

Cara menyebut o ala Terengganu ini ada juga pada loghat Kelantan. Tetapi bezanya, di hujung kata-kata orang Kelantan bunyinya berbeza. 'O'-rang di Kelantan menjadi 'o'-re ('-rang' ditukar '-re' seperti juga 'ma-kan' menjadi 'ma-ke' dan 'i-kan' bertukar 'i-ke').

Oleh itu, di negeri kami memang tidak pernah wujud orang; yang ada hanya o-rang!

NOTA tajuk di atas: Tak dok orang sinning! = Tidak ada orang di sini.

Penekanan pada kata 'sini' menjadi 'sin-ning' itu bagi menggantikan sendi kata 'di' (pada sistem rasmi bahasa Melayu) yang telah dighaibkan dalam sistem sebutan struktur bahasa pertuturan Terengganu.

Perhatikan juga kata 'tak dok' yang digunakan untuk membawa maksud 'tidak ada'. Jadi, di sini, kata 'tak dok ada' sejenis redundant yang tidak boleh diterima.

Lucu juga jika kita fikir kembali sebutan 'tak dok' ini kerana ia asalnya gabungan dua kata negatif 'tak' (tidak) dan 'dok' (juga, 'tidak')!

Sistem ini, 'tak dok', kelihatan sama dengan 'tak mboh' kerana dua sebutan (ungkapan) ini tidak boleh berdiri sendiri tetapi harus sentiasa kekal sebagai satu. Tere dok aku? hahaha, ....

Tuesday, May 24, 2005

Ceddung & sendung

Ceddung, perkataan orang Terengganu dan Kelantan, cuba dibawa masuk sebagai kata rasmi, 'cedung' atau 'mencedung'. Mungkin ahli bahasa dari dua negeri ini yang cuba berbuat demikian.

Dua kata ini, ceddung dan sendung berkait rapat dengan baruh atau padang (bahasa Melayu, 'sawah' atau 'bendang').

Mencedung itu satu peringkat dalam kegiatan menanam padi -- atau, memindahkan anak semaian ke petak tanaman padi. Sewaktu di sekolah dulu, kita pernah dengar kata 'kuku kambing', sejenis alat yang digunakan untuk menekan pangkal anak semaian ini ke dalam tanah.

Tetapi di sawah kami (antara kampung Gelung Bilal dan kampung Padang), saya hanya menggunakan hujung ibu jari (tangan, tentunya!) untuk menekannya. Wah, kalau tanah terlalu keras, macam mahu patah jari!

# Saya rindu pada sawah dan terbayang-bayang wajah Tokki yang lucu dan baik hati (yang telah pergi buat selama-lamanya sewaktu saya di Jakarta -- saya tidak sempat melihatnya pergi)

Istilah-istilah lain yang relevan: uting (ikatan bagi sejumlah anak padi yang telah dicabut dan dibersihkan akarnya sebelum dipindahkan), gema (ikatan bagi sejumlah tangkai padi yang telah masak dan diketam) ... apa lagi, ya? Aduh, ampun! Sudah banyak saya lupa ....

Satu lagi kata yang ada kaitan dengan padi ini, baloh atau kata rasmi yang lebih popular, 'kepuk', pondok kecil yang didirikan khusus untuk menyimpan padi. Secara manual, padi yang telah masak akan diketam (menggunakan sejenis alat yang dinamakan 'ketam') atau dibanting (orang Terengganu menyebutnya mukkul, kemungkinan besar dari kata 'memukul' padi kering)

Sendung pula sejenis tanah sawah atau paya yang jerlus. Berada di atas tanah sendung ini kita rasa seperti berada di atas tilam empuk, bergerak-gerak, kerana di bawahnya hanya ada air. Mungkin seperti melompat-lompat di atas tilam berair. Di celah-celah tanah liat dan rumput ini, akan muncul lopak-lopak air -- awas, jangan pijak di sini, anda boleh tenggelam terus ke bawah tanpa mencecah tanah lagi (jika sendung ini cukup dalam).

Sebenarnya, saya tidak pernah tahu sedalam mana sesebuah sendung tetapi kami (sewaktu kecil) tentunya boleh 'hilang', jika tidak hati-hati, ditelannya. Mak saya selalu bimbang tentang ini apabila kami berdua (saya dan adik) tiba-tiba tiada di rumah. Selalunya kami terperangkap dalam paya yang bersendung ini apabila mencari ikan laga, atau kami menyebutnya ikan skila.

Oh ya, jangan lupa, satu perkataan lagi, littah...

Monday, May 23, 2005

Pada mulanya lidah* [Siri 3]

Lihat juga artikel-artikel Siri I dan Siri II di bawah: Fathi Aris Omar

Rahsia utama, antaranya, yang mencipta sebutan-sebutan ‘ganjil’ loghat Terengganu – berbanding sebutan dan struktur ayat bahasa Melayu (rasmi) – semuanya gara-gara lidah.

Ya, memang, semua bahasa pertuturan bermula di lidah, lelangit dan gigi. Tetapi lidah orang Terengganu lebih ‘istimewa’ (walau saya tidak pernah menyentuhnya! …hehehe…).

Loghat di negeri Pantai Timur ini bermula pada kedudukan lidah mereka yang rata, atau lese, sahaja – entah kerana ‘malas’ atau kerana ‘keras’ kaku – di dalam mulut. Lidah orang Terengganu tidak bergerak dengan rancak untuk membolehkan mereka menyebut sesuatu kata bahasa Melayu (rasmi) dengan ‘betul’.

Apakah sebutan bahasa Melayu rasmi itu lebih ‘betul’ dan sebutan Terengganu itu ‘salah’? Saya tidak bersetuju dengan cara menggambarkan kata ‘betul’ atau ‘salah’ dalam konteks ini. Seharusnya ia dilihat sebagai dua sistem sebutan yang ‘berbeza’. Kata ‘berbeza’ atau ‘berlainan’ lebih berkecuali dan dekat dengan isu yang kita bincangkan ini.

Kedudukan lidah yang ‘rata’ di dalam mulut, hujungnya tidak ke atas (misalnya, sewaktu menyebut kata-kata ‘makan’). Dalam pertuturan rasmi, kata ‘makan’ atau yang berakhir dengan ‘—n’ memerlukan pergerakan hujung lidah ke lelangit (berhampiran gigi).

Tetapi apabila, kedudukan lidah orang Terengganu rata sahaja – maka muncul kata ‘makang’. Gerak dan kedudukan lidah sebeginilah yang memunculkan bunyi-bunyi ‘ikang’, ‘bidang’ atau ‘telang’, bukannya ‘ikan’, ‘bidan’ atau ‘telan’ (bahasa Melayu rasmi).

Begitu juga kata-kata yang berakhir dengan ‘—m’, akan disebut menjadi ‘—ng’; misalnya malam = malang, makam = makang, atau, Siam (Thailad) = Siang.

Perhatikan juga kata-kata Melayu yang berakhir dengan ‘—au’ atau ‘—ai’. Orang Terengganu menghilangkan bunyi huruf ‘u’ dan ‘i’ di hujungnya menjadi ‘pisa’ (bagi ‘pisau’), ‘hija’ (bagi ‘hijau’), atau ‘sila’ (untuk kata ‘silau’). Kata-kata ‘pakai’ menjadi ‘paka’ dan ‘hilai’ (ketawa) = ‘hila’ (orang Terengganu lebih suka menyebut ‘ngilla’).

Bunyi loghat ini bersesuaian dengan ‘hukum sebutan’ yang tidak banyak menggerakkan lidah tetapi membiarkannya rata sahaja di tengah-tengah mulut.

Kata-kata Melayu yang berakhir dengan ‘—ar’ akan dibunyikan oleh orang Terengganu dengan sistem ‘—or’. Misalnya, ‘pasar’ menjadi ‘pasor’ dan bandar = bandor (dengan penekanan suara yang agak dalam). Tetapi kata ‘biar’ masih kekal ‘biar’, tidak pula menjadi ‘bior’!

Kata-kata ‘sebab’ akan menjadi (disebut) ‘sebak’, jilbab = jilbak, kebab = kebak, dan nasib = nasik. Format kata ‘—ab’ dalam bahasa Melayu rasmi ini memerlukan pergerakkan bibir (atas dan bawah) yang tertutup (rapat) tetapi orang Terengganu membukakan sedikit mulut, sementara lidahnya masih juga ‘rata’!

Semua kata Melayu (rasmi) yang berakhir dengan ‘—s’ akan berbunyi di mulut orang Terengganu berakhir dengan ‘—h’. Misalnya, ‘kertas’ akan menjadi ‘kertah’, ‘harus’ = ‘haruh’, ‘tebas’ = ‘tebah’, ‘malas’ = ‘malah’, dan ‘bilas’ = ‘bilah’. Sekali lagi, angkara lidahnya itu!

Format sebutan rasmi kata-kata yang berakhir dengan ‘—s’ seharusnya hujung lidah menekan bahagian gigi (dalam). Tetapi bagi penutur loghat Terengganu, mulut mereka dibiarkan terbuka dan lidah mereka pula berkedudukan rata.

* Judul artikel saya ini diubah suai dari ungkapan yang agak popular di kalangan teman-teman Indonesia, ‘pada mulanya kata’. Khabarnya ia dipopularkan oleh Goenawan Mohamad, penyair dan penulis kolum ‘Catatan Pinggir’ di majalah mingguan tersohor Tempo. Tetapi seorang teman saya di Jakarta (yang mendalami teologi dan kajian teks Kristian) mendedahkan, Goenawan kemungkinan besar mengambil ungkapan itu dari Bible.

Baddi, another weird word

Tulisan berikut dicuri tanpa keizinan (?) dari blog ‘Di Bawah Rang Ikang Kering’ – ungkapan yang kaya imaginasi bagi seseorang yang dekat dengan pantai. Saya mengenali blog ini melalui satu lagi blog – kedua-dua URL di akhir artikel ini.

Tulisan ini, dalam bahasa Inggeris, memperkenalkan satu kata yang khusus berbau Terengganu. Saya suka ungkapan ini mari baddi nyelang kerana ia mengingatkan saya tentang sungai dan parit (di sawah) …. Fathi Aris Omar

Baddi
Our Terengganu word for today comes from my friend Som. No, Hilmi, Som is not Kelsom but Mad Som who used to live near Jambang Ija in Tanjong, Kuala Terengganu. The word is baddi.

Baddi is not to be confused with badi as in kena badi broya when the bad part of of the crocodile spirit impacted your body and your spirit. Baddi is to compete or to match up. When Terengganu people catches up with the big city people, baddi will mean "keeping up with Joneds". Baddi is not interchangeable with berlawang. Baddi has the connotation of a friendly competition where as berlawang is not so friendly. Thus when the kite season is on and you prepare your kite string with glass and paste, it is for the sole purpose of cutting off other people's kite from the owner. That's berlawang because the others might have sharper strings that can cut faster.

Baddi is more of a contest. Mari baddi nyelang is a challenge to see who can hold his breath longer underwater. Of course there are other contests and challenges that boys go through in the process of learning the word baddi. It might be the same outside Terengganu, because boys are the same everywhere only the word is different. Probably, outside Terengganu, berlawan is used instead of baddi as in this story forwarded to me by Wan M.

Teks lengkap, sila ke blog di bawah ….

Dicuri dari Di Bawah Rang Ikang Kering yang diterbitkan pada 20 Mei, 2005 dan saya merayau ke blog ini melalui satu lagi blog, (this one sounds very familiar to me….)